FOKUS

10 tahun berlalu…operasi carian pesawat MH370 kembali bergema

Ia masih satu misteri terbesar dalam dunia penerbangan.

Siapa boleh lupa pasal kehilangan pesawat MAS MH370 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Keluarga 239 penumpang dan anak kapal yang lenyap bersama pesawat itu masih menaruh harapan ia mungkin dapat ditemui satu masa nanti.

Operasi pencarian yang dikendali Malaysia dengan kerjasama Australia dan China serta dibantu pelbagai agensi antarabangsa meliputi kawasan pencarian di dasar laut seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Pencarian pesawat itu selama hampir tiga tahun ditangguhkan pada 17 Januari 2017.

Kos pencarian itu bukan kecil sebaliknya ia melibatkan wang negara berjumlah RM456 juta.

Hari ini Ahad 3 Mac soal operasi pencarian MH370 kembali bergema.

Semasa berucap pada program MH370: 10 Years Gone yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, Menteri Pengangkutan Anthony Loke beri jaminan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat MAS yang hilang 10 tahun lalu.

Beliau juga telah mengarahkan kementeriannya untuk menjemput Ocean Infinity ke Malaysia dan memberikan taklimat kepadanya tentang operasi itu.

Apapun beliau berkata cadangan berkenaan adalah atas dasar ‘no find, no fee’ yakni tidak jumpa tiada bayaran.

“Kami kini sedang menunggu mereka untuk memberikan tarikh yang sesuai dan saya berharap dapat bertemu dengan mereka tidak lama lagi. Kerajaan Malaysia tetap dengan azam dalam pencarian MH370.

“Saya berharap keluarga dan rakan mangsa terus tabah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berada dalam doa kami. Lebih penting lagi, kami akan menyokong anda,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Anthony Loke menjelaskan kontrak atau cadangan baharu Ocean Infinity mengenai pencarian pesawat itu, perlu dibentangkan dan mendapat kelulusan daripada Kabinet kerana ia melibatkan implikasi kewangan, walaupun ia berdasarkan kepada ‘no find no fee’.

Ditanya sama ada Malaysia sudah berbincang dengan kerajaan Australia mengenai perkara ini, beliau berkata, Malaysia akan berhubung dengan negara itu selepas Ocean Infinity memuktamadkan cadangannya.

“Buat masa ini, kami masih belum berhubung dengan kerajaan Australia, tetapi apabila Ocean Infinity telah memuktamadkan cadangan mereka, sudah pasti kami perlu berhubung dengan kerajaan Australia untuk mendapatkan kerjasama mereka agar pencarian dimulakan segera,” katanya. – 3/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button