Siapa menang jika pilihanraya kecil di enam kerusi Parlimen PN yang lompat sokong Anwar?

Teka teki yang bermain dalam senario politik negara sekarang tentunya mengenai kedudukan enam kerusi Parlimen Perikatan Nasional yang wakil rakyatnya lompat umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam kerusi panas berkenaan disandang oleh ahli BERSATU yang bertanding atas tiket PN masa pilihanraya umum ke 15 November 2022.
Ahli Parlimen berkenaan masih kekal ahli BERSATU sampai hari ini sekalipun sudah alih sokongan kepada kerajaan perpaduan.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Apakah mereka wajib kosongkan kerusi itu gara gara pindaan perlembagaan parti BERSATU yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Sabtu kelmarin.
Kalau ikut Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka perlu kosongkan kerusi masing masing jika masih kekal dengan pendirian sokong Anwar.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad memberitahu wartawan BN sedia meletakkan calon bagi merebut kembali enam kerusi itu sekiranya pengosongan enam kerusi berkenaan berlaku.
Katanya sebelum ini kerusi-kerusi itu disandang oleh ahli parlimen daripada BN.
“Kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.
“Pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut akan memberi keutamaan kepada calon-calon Umno dan BN,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid berkata beliau percaya Peraturan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kerusi ahli parlimen Bersatu berkenaan boleh dikosongkan biarpun terdapat usaha daripada BERSATU supaya ia berlaku.
Beliau berkata pindaan yang dilakukan BERSATU nampaknya seperti satu pembalasan kepada tindakan seorang daripada pemimpinnya yang membawa masuk Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan.
“Kini tanpa sebarang usaha pun daripada pihak UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya telah bersama menyokong Perdana Menteri,” katanya.
Penentu enam kerusi itu perlu dikosongkan atau tidak mengikut kehendak pindaan perlembagaan BERSATU mungkin terletak pada Speaker Dewan Rakyat atau Pendaftar Pertubuhan atau jalan akhir mahkamah.
Mengambil kira jika keputusan kosong atau tidak enam kerusi itu melibatkan faktor berkenaan…prosesnya besar kemungkinan mengambil masa yang panjang.
Namun misalnya pengosongan kerusi perlu dibuat segera oleh enam Ahli Parlimen Bersatu itu teka teki yang cukup menarik pastinya siapa yang bakal menang dalam pilihanraya kecil nanti.
Senario politik semasa ketika pilihanraya umum ke 15 November 2022 dan sekarang tentu banyak perbezaan.
Contohnya waktu PRU 15 UMNO-BN berentap dengan Pakatan Harapan…namun selepas itu keduanya sudah duduk bawah satu bumbung sama dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya BERSATU pula masih kekal dengan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional yakni sama ketika berdepan dengan PRU ke 15.
Pilihanraya kecil di enam kawasan ini juga dapat menjawab soalan besar yang berlegar apakah faktor ‘Green Wave’ yang menguatkan PN masa PRU15 masih membara.
Ada pemerhati politik yang berpendapat jika buat congak secara mudah berdasarkan gabungan antara parti politik terkini BN ada peluang merampas balik tiga kerusi Parlimen yakni Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan.
PN pula dijangka boleh pertahan dua kerusi iaitu Tanjong Karang dan Jeli.
Satu kerusi pula yakni Gua Musang dikira 50-50 antara dua gabungan itu.
Di Bukit Gantang,Perak misalnya jika tidak berlaku perubahan besar dikalangan penyokong semasa PRU 15 ada 19,869 orang undi calon UMNO-BN manakala 18,565 undi calon PH-Amanah.
Ini menjadikan jumlah penyokong kerajaan perpaduan di situ seramai 38,434 orang.
Syed Abu Hussin menang atas tiket BERSATU-PN waktu itu dengan sokongan 32,625 undi.
Diatas kertas tanpa ambil kira faktor lain ada kelebihan 5,809 undi untuk kerajaan perpaduan.
P59 BUKIT GANTANG
Jumlah Pengundi: 94,253
Peratusan Kaum: M: 67,225; C: 17,974; I: 8,515; L: 543
- SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (PN-BERSATU) 32,625 MENANG
- Fakharuldin Mohd Hashim (PH-AMANAH) 18,565
- Mohd Shukri Mohd Yusoff (PEJUANG) 508
- Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (BN-UMNO) 19,869
Majoriti: 12,756
Undi Ditolak: 1,033
Jumlah Undi:. 94,253
Peratus Mengundi: 77.2%
PRU14: SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (BN)
Jumlah Undi: 22,450
Majoriti : 4,089
Di Kuala Kangsar pula jumlah yang undi calon UMNO-BN 10,814 manakala yang undi PH-Amanah 10,356 maka jumlahnya 21,170 undi.
Iskandar Zulkarnain yang bertanding atas tiket BERSATU-PN menang dengan undi 14,380.
Ini bermakna penyokong kerajaan perpaduan berjumlah 21,170 yakni 6,790 melebihi pengundi yang sokong PN.
P67 KUALA KANGSAR
Jumlah Pengundi: 46,985
Peratusan Kaum: M:33,109; C:9,848; I:3,075; OA:554; L:421
- DATUK ISKANDAR DZULKARNAIN ABDUL KHALID (PN-BERSATU) 14,380 MENANG
- Datuk Maslin Sham Razman (BN-UMNO)10,814
- Yusmalia Mohamad Yusof (Pejuang)204
- Ahmad Termizi Ramli (PH-Amanah)10,356
Jumlah undi36,229
Peratus 77.1%
Undi ditolak 442
Kertas undi tidak dikembalikan 33
Majoriti 3,566
PRU14: MASTURA YAZID (BN)
Jumlah Undi: 12,102
Majoriti : 731
Di Labuan juga nampak cerah untuk calon UMNO-BN.
Calon BERSATU – PN Suhaili menang dengan undi 8,124.
Calon UMNO-BN pula dapat 7,416 manakala PH-Amanah 5,307.
Calon parti Warisan yang diduga sokong kerajaan perpaduan pula 7,310.
Ini bermakna ada 20,033 undi di situ.
166 LABUAN
Jumlah Pengundi: 44,522
Jumlah Kaum: M: 14,538; C: 7,546; I: 542; Bumi:19,750; L: 2,146
- Bashir Alias (BN-UMNO) – 7,416
- Dr Ramli Tahir (PH-AMANAH) – 5,307
- Ramle Mat Daly (PEJUANG) – 90
- Rozman Isli (WARISAN) – 7,310
- SUHAILI ABD RAHMAN (PN-BERSATU) – 8,124 MENANG
- Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (PBM) – 202
Majoriti: 708
Undi Rosak: 246
Jumlah Undi: 28,762
Peratus Mengundi: 64.7%
PRU14: ROZMAN BIN ISLI (BN)
Jumlah Undi: 10,164
Majoriti: 1,450
Di Gua Musang calon veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah tewas tipis sebanyak 163 undi saja.
Kawasan ini mempunyai pengundi seramai 70,254 dan diletak pada kedudukan 50 – 50 antara BN-PH dan BERSATU -PN
Pada PRU 15 Tengku Razaleigh Hamzah BN-UMNO dapat 21,663 undi.
Calon PN yang menang Mohd Azizi dapat 21,826.
Persaingan sengit pasti berlaku kerana PAS anggota gabungan PN mempunyai ramai penyokong di Kelantan serta kawasan parlimen berkenaan.
Jika Tengku Razaleigh dicalonkan bertanding semula sudah tentu beliau akan kekalahan tipisnya pada PRU15 terbalas.
P32 GUA MUSANG
Jumlah Pengundi: 70,254
Peratusan Kaum: M: 78.47%; C:5.80%; I:0.46%; OA: 14.59; L: 0.69%
- Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO)21,663
- DATUK MOHD AZIZI ABU NAIM (PAS-Bersatu) 21,826 MENANG
- Dr Samsu Adabi Mamat (Putra-Pejuang)371
- Asharun Uji (PH-PKR)4,517
Jumlah undi 49,699
Peratus 70.7 peratus
Undi ditolak 743
Kertas undi tidak dikembalikan 579
Majoriti 163
PRU14: TENGKU RAZALEIGH HAMZAH (BN)
Jumlah Undi: 19,426
Majoriti: 3,913
Di Jeli nampak berat kepada PN.
Calon PN Zahari Kecik menang dengan 27,072 undi
Calon UMNO-BN kawasan ini dapat 14,608
Manakala calon PH-AMANAH dapat 1,140
Jika dijumlah kedua calon UMNO dan Amanah jumlahnya 15,748 sahaja.
P30 JELI
Jumlah Pengundi: 59,798
Peratusan Kaum: M: 97.65%; C:0.18%; I:0.11%; OA: 0.79%; L: 1.28%
- Muhammad Daud (PEJUANG) 133
- ZAHARI KECIK (PN-BERSATU) 27,072 MENANG
- Norwahida Patuan (BN-UMNO) 14,608
- Md Radzi Wahab (PH-AMANAH) 1,140
Majoriti: 12,464
Undi Rosak: 635
Jumlah Undi: 43,732
Peratus Mengundi: 73.1 %
PRU14: DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED (BN)
Jumlah Undi: 21,665
Majoriti: 6,647
Di Tanjong Karang juga nampak berat pada PN.
Calon PN pada PRU 15 Dr Zulkafperi menang dengan 18,054 undi.
Calon UMNO-BN pula dapat 15,874
Calon parti MUDA yang kini diduga menyokong PN dapat 12,314.
Siapa tahu PN mungkin letak ‘orang kuat’ kawasan itu Tan Sri Noh Omar sebagai calon untuk memperkuatkan harapan untuk mempertahankan kawasan berkenaan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dan bekas menteri itu dikatakan masih ada pengaruh kuat di situ.
P95 TANJONG KARANG
Jumlah Pengundi: 62,186
Peratusan Kaum: M:73.20%; C:17.17%; I:8.20%; L:2.41%
- Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa)3,557
- Mohd Rosni Mastol (Bebas/)1,406
- KAPTEN (B) DATUK DR ZULKAFPERI HANAPI (PN-Bersatu) 18,054 MENANG
- Siti Rahayu Baharin (MUDA)12,314
- Datuk Habibah Mohd Yusof (BN-UMNO)15,874
Jumlah undi 51,872
Peratus 83.4 peratus
Undi ditolak 573
Kertas undi tidak dikembalikan 94
Majoriti 2,180
PRU14: NOH OMAR (BN)
Jumlah Undi: 17,596
Majoriti: 1,970