Daim dan keluarga gagal sekat siasatan SPRM terhadap mereka

Usaha Tun Daim Zainuddin menerusi jalan mahkamah untuk sekat SPRM dari menjalankan siasatan keatas dirinya dan keluarganya gagal.
Pada Isnin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Menteri Kewangan dan keluarganya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meneruskan semakan kehakiman mereka terhadap siasatan SPRM ke atas mereka.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Dengan keputusan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak lagi akan meneruskan perbicaraan mengenai merit tindakan undang-undang tersebut.
Permohonan terbabit difailkan Daim melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.
Dalam kes ini, Tommy mewakili Daim, 86, isterinya, Toh Puan Nai’mah Khalid, 67, dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta Menara Ilham selaku pemohon pertama hingga ketujuh.
Antara relif yang dimohon dalam tindakan undang-undang itu adalah untuk membatalkan pertuduhan jenayah tidak mengisytiharkan aset oleh Daim dan isterinya Na’imah Abdul Khalid.
Farid memutuskan bahawa pemohon gagal menunjukkan bahawa terdapat mala fide (niat jahat) dalam siasatan SPRM terhadap mereka, dengan menyatakan bahawa hanya syak wasangka mala fide tidak memadai.
Hakim berkata, Daim dan Na’imah hanya perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (jenayah) untuk mencabar pertuduhan berkenaan.
Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.
Mereka memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.
Katanya, pegangan saham cairnya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.- 4/3/2024