FOKUS

KEMASKINI : SPRM bagi tempoh seminggu Wan Saiful buat laporan dakwa ditawarkan sogokan

Hairan juga…kenapa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan terus menyepi setelah buat dakwaan panas dalam sidang Dewan Rakyat pada 28 Februari baru ini beliau ditawarkan sogokan untuk alih sokongan pada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaannya termasuk ditawarkan peruntukan untuk “Projek Mesra Rakyat”, selain membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya telah cetus kekecohan pertengkaran antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ini kerana kalangan Ahli Parlimen kerajaan dakwa menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin dan desaknya buat laporan kepada SPRM.

Bukan setakat itu…malah kemudian beliau tulis dalam facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.”

Namun esoknya ketika ditemui wartawan ,Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.

Pada Isnin,Azam Baki yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Seremban telah beri tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Katanya sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.

“Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.

Jelas Azam, seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.

“Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan).

“Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya,” katanya.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut serta ditawarkan imbuhan supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

KEMASKINI : Azam Baki nafi SPRM hubungi Wan Saiful…siapa orang itu?

Kini timbul pula satu misteri.Siapa orang yang mendakwa dirinya dari SPRM yang hantar mesej kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan sejam selepas beliau buat ucapan bahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam,Rabu.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.

Dalam ucapan perbahasannya Wan Saiful mendakwa beliau ditawarkan habuan untuk menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azam Baki yang ditemui wartawan semasa sidang kemuncak antirasuah di Kuala Lumpur Khamis bagaimanapun menjelaskan menjadi tugas suruhanjaya itu menyiasat dakwaan rasuah yang dibangkitkan Wan Saiful ketika sidang Dewan Rakyat.

“Tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau, mungkin sesiapa pun boleh hubungi beliau mengatakan daripada SPRM.

“Tetapi apa yang penting di sini Wan Saiful Wan Jan sepatutnya hadir ke SPRM bagi buat laporan kerana apabila seseorang ditawarkan suapan atau rasuah perlu datang ke mana-mana balai polis terdekat atau (pejabat) SPRM untuk membuat laporan,” katanya

Wan Saiful kemudiannya kata menerusi laman facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.’- 29/2/2024

:BERITA SEBELUM INI : SPRM mesej MP Tasek Gelugor sejam selepas dakwa cuba disogok untuk alih sokongan

SPRM telah bertindak pantas setelah Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan buat dakwaan dalam sidang Dewan Rakyat ada usaha pihak tertentu menawarkan habuan agar beliau menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.

“Cuma saya nak tanya apa tindakan yang akan diambil untuk menghentikan penggunaan wang rakyat sebagai umpan kepada ahli parlimen Bersatu?” katanya di Facebook, Rabu.

Kata Wan Saiful beliau akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung dakwaan ditawarkan habuan serta peruntukan RM1.7 juta untuk menukar sokongannya itu.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Wan Saiful turut mendakwa beliau telah hadir empat pertemuan dengan individu berbeza yang memujuknya untuk menyokong Anwar.

Selain tawaran peruntukan, beliau mendakwa turut ditawarkan peruntukan untuk “Projek Mesra Rakyat”, selain tawaran untuk membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya.

Dakwaan itu mengundang kekecohan dengan ahli parlimen kerajaan menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin.

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” kata Ahli Parlimen Jeluton RSN Rayer.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata beliau tidak pelik jika dakwaan itu dinafikan oleh pihak kerajaan.

“Tak apalah, kita faham mereka terpaksa spin,” katanya lagi.

Setakat ini, sudah enam ahli parlimen Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar – mendakwa ada lebih 10 lagi ahli parlimen Bersatu yang akan berbuat demikian.- 28/2/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button