KEMASKINI : Pembebasan Isa Samad…Pendakwa Raya fail rayuan

Semalam,Rabu selepas Mahkamah Rayuan bebas dan lepaskan Tan Sri Isa Samad dari hukuman dan pertuduhan kes rasuahnya,bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Pengerusi Felda itu menduga kes beliau selesai lagi.
“Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain,” katanya.
Tepat seperti dugaan itu pada hari ini Khamis pihak Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan awal terhadap kesnya.
“Kami baru sahaja memfailkan notis (rayuan),” kata Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, 75 terhadap keputusan bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.
Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali mendapati Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta kes pembelian hotel Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching dan menjatuhi hukuman itu. – 7/3/2024
Isa Samad lepas bebas dari tuduhan rasuah dan hukuman penjara
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta semasa beliau pegang jawatan Pengerusi Felda.
Ini berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Mahkamah itu jatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Pada Rabu…Isa dibebaskan dari pertuduhan dan hukuman.
Keputusan ini dibuat oleh Mahkamah Rayuan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.
Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan secara tidak jujur menerima suapan untuk dirinya sendiri, secara tunai berjumlah RM3,090,000, daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui seorang individu bernama Muhammad Zahid Md Arip.
Wang itu dikatakan sebagai suapan kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) dengan harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Aras 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Sembilan pertuduhan itu dirangka mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) undang-undang yang sama.
Isa berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Susulan itu, Isa memfailkan notis rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara dan denda terhadapnya, pada 4 Februari 2021.