ADUN pertama Selangor dari Bersatu ‘lompat’ sokong MB

Sebelum ini ia cuma melibatkan kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang ‘lompat’ sokong Perdana Menteri…kini ia sudah melarat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pula.
Pada Rabu ADUN Bersatu kawasan Selat Kelang Abdul Rashid Asari umum sokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Agak menarik kerana tindakan alih sokongan ini berlaku tidak lama selepas pada Sabtu 2 Mac baru ini Bersatu lulus pindaan pada perlembagaan menerusi satu perhimpunan agung khas untuk sekat perbuatan paling tadah.
Pindaan itu menetapkan mereka yang paling tadah perlu letak jawatan dan pilihanraya kecil diadakan di kawasan berkenaan.
Abdul rashid menerusi satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan.
“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.
Abdul Rashid adalah Adun pertama Bersatu yang berpaling tadah.
Katanya, keputusan berkenaan adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutamanya penduduk di Selat Kelang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu.
“Saya kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai Adun Selat Kelang,” katanya.
Dengan sokongan Abdul Rashid, kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan dan disokong oleh BN kini mempunyai 35 kerusi di DUN Selangor manakala PN yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu mempunyai 21 kerusi.
Jumlah itu masih belum mencukupi untuk menikmati sokongan dua pertiga.
Sebelum ini enam Ahli Parlimen PN dari Bersatu ‘ lompat’ sokong Anwar.
Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).-6/3/2024