TAHUKAH ANDA

Felda alami kerugian bersih RM1 billion…

Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Katanya Felda juga didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

“Geran Kerajaan yang diterima oleh Felda pada tahun 2022 berjumlah RM0.214 bilion (2021: RM0.342 bilion). Felda bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

“Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang. Felda memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion,” katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Wan Suraya Felda juga mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029,” katanya.

Dalam laporan muka surat 22 daripada 106 muka surat itu, PR1MA dilapor menghadapi kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.

Dengan kedudukan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM0.428 bilion, baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada Oktober 2024.

“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027,” kata laporan berkenaan.- 6/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button