Kita perlu ‘stop the rot’ dalam Felda dan LTAT…- PM

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada 2022.
Dua kepincangan ini yang terkandong dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 telah mencuri perhatian ramai.
Kerajaan nampaknya tidak akan peluk tubuh menghadapi hal ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu FELDA dan LTAT menyerahkan laporan penuh berhubung kerugian itu dalam masa dua minggu susulan LKAN 2022 baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas solat Jumaat di Surau Amaniah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, berkata, notis mengenai perkara itu sudah diserahkan kepada agensi berkenaan.
“Kemudian Kabinet akan membincangkan perkara itu,” katanya.
“Walaupun perkara ini daripada (laporan) audit 2022, tetapi kita nak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan ada apa-apa yang terlibat, yang agak kurang baik, terpaksa kita ambil tindakan,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu berkenaan, Perdana Menteri berkata, biarlah kerajaan meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan.
“Kemudian beri peluang kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk mengemukakan penjelasan. Apa yang penting ialah kita perlu stop the rot (hentikan kerosakan), kekurangan dan kelemahan,” katanya. – 8 /3/2024