TAHUKAH ANDA

Pejabat Peguam Negara kini penentu kes Haji Hadi…

Pejabat Peguam Negara (AGC) kini menjadi penentu kes kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menghina Raja Raja Melayu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung hal itu sudah dihantar kepada AGC.

Katanya polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu arahan daripada AGC.

Selasa lalu, polis telah ambil masa sejam merakam kenyataan ahli Parlimen Marang itu.

Sebelum ini, Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berhubung kenyataan Haji Hadi yang disiarkan pada 20 Feb lalu.

Kenyataan HajiHadi itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kesahihan 16 peruntukan jenayah syariah Kelantan.

Dalam tulisannya yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” itu, Haji Hadi memberi peringatan kepada semua umat Islam bertujuan supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

Ini, katanya termasuk Raja-Raja Melayu yang mesti berwawasan akhirat.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah meminta semua pihak bertenang.

Baginda juga mengingatkan Haji Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Pada 29 Februrai lalu, dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda melahirkan rasa kecewa dan berkata teguran presiden PAS itu tidak beradab serta tidak sesuai dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan menjaga adab ketika menyuarakan pandangan dan menasihati raja-raja Melayu.

Haji Hadi kemudian mengutus warkah “menjunjung kasih” kepada Sultan Selangor sebelum disoal siasat polis pada Selasa (5 Mac).- 8/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button