Media: Harap harap begitu…

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Selasa beri jaminan ini di dalam Dewan Rakyat.
Ini sebagai menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya memberi jaminan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancar pada 20 Februari lalu tidak akan mengekang pemberita atau sebarang laporan berbentuk pembongkaran skandal.
“Saya beri jaminan, Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini, tidak ada seorang pun wartawan yang ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoalsiasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan berita yang menceritakan mengenai skandal, tidak,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan media itu menjadi teras utama yang bukan sahaja disokong tetapi dimakmurkan lagi kerajaan ketika ini.
Fahmi juga menjelaskan mengenai isu kad perakuan media.
“Maka, sekali lagi saya sebutkan, kad perakuan media tidak halang daripada membuat pelaporan, menulis berita.
“Clare Rewcastle-Brown (Editor Sarawak Report) tidak mempunyai kad perakuan media tapi beliau boleh menulis. Sesiapa sahaja di luar sana, boleh menulis,” katanya.
Tegasnya lagi, kad perakuan media bukan kad akreditasi sebaliknya dokumen untuk memudah cara kehadiran wartawan untuk menghadiri majlis rasmi kerajaan.
“Kad perakuan media bukan seperti ‘being called to the bar’ atau mendapat perakuan. Ia bukan akreditasi… bukan. Ia dokumen memudahcara kehadiran wartawan untuk datang ke acara rasmi khususnya bagi kerajaan,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) Jabatan Penerangan (JaPen) bagi pengamal media antarabangsa dinaikkan kepada dua tahun berkuat kuasa serta-merta.
Kemas kini tempoh sah laku itu antara penyelarasan dilaksanakan JaPen berbanding setahun bagi pengamal media antarabangsa warga tempatan.
Bagi pengamal media antarabangsa bukan rakyat Malaysia dan dalam lawatan jangka panjang pula, tempoh sah laku KPM ditetapkan setahun.
Sementara itu, bagi pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian, tempoh sah laku KPM adalah dua tahun.
Bagaimanapun, tempoh sah laku KPM bagi pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media, ditetapkan selama setahun.
“Selain itu, pengamal media dalam talian yang baru mendaftar dengan JaPen, tempoh sah laku KPM ditetapkan selama enam bulan,” katanya.– 12 Mac, 2024