Mungkin ramai yang tidak sedar hingga hari ini Selasa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah berada di Institut Jantung Negara (IJN) selama 47 hari menjalani rawatan akibat jangkitan dialami sejak Januari lalu.
Beliau dimasukan ke IJN pada 26 Januari.
Dalam satu kenyataan pada Isnin malam Dr Mahathir memaklumkan beliau kini masih menjalani rawatan di IJN.
Bagaimanapun katanya, tahap kesihatannya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta staff di IJN.
“Saya harap dalam masa terdekat dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.
“Setakat ini adakala saya dibenarkan pulang sekejap atau home leave oleh pakar di sini, tapi tetap perlu bermalam di IJN,” katanya.
Beliau dan isteri, Siti Hasmah Mohd Ali turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam.
“Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua.
“Selamat berpuasa. Saya berdoa semoga amal ibadat dan usaha kita di bulan yang istimewa ini akan dirahmati dan diberkati Allah SWT insya-Allah,” kata Mahathir yang menjadi perdana menteri Malaysia keempat dan ketujuh.
Pada 20 Feb lalu, pentaddir media sosial Mahathir menyangkal khabar angin mengatakan bekas perdana menteri berusia hampir 100 tahun itu sedang tenat dan berkongsi gambar dia sedang membaca akhbar dan menulis.
Mahathir dimasukkan ke IJN pada 26 Jan akibat jangkitan, menyebabkan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Feb untuk ditangguhkan kepada 19 Julai.
Saman fitnah itu adalah berhubung kenyataan berhubung isu “kutty”.- 12/3/2024