KEMASKINI : Kenyataan bersama Mirzan dan Mokhzani…SPRM bukan siasat kami

Dua orang anak Tun Dr Mahathir Mohamad yakni Mirzan dan Mokhzani pada Sabtu mengeluarkan kenyataan bersama untuk menjelaskan pasal isu pengisytiharan harta mereka kepada SPRM.
Mereka berdua tegas mendakwa mereka bukan di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.
Sebaliknya mereka dakwa siasatan itu sama ada bapa mereka telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memperkayakan mereka.
“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai ‘anak’ kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” kata mereka.
“Kami memahami bahawa keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami telah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan kami,” kata mereka lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Khamis lalu telah mengesahkan Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Dalam kenyataan itu Mirzan dan Mokhzani berkata mereka menghargai lanjutan masa yang diberikan SPRM ke atas notis yang diserahkan kepada mereka pada Januari lalu.
Kata mereka lagi, memandangkan pengisytiharan harta yang perlu dilakukan meliputi tempoh 43 tahun dengan kurangnya rekod maklumat selama tempoh itu, mereka berharap SPRM dapat menentukan tempoh masa yang paling penting dalam tempoh itu untuk siasatan mereka.
Mereka juga menepis sindiran yang mendakwa mereka memerlukan lebih masa ekoran kekayaan yang terlalu besar.
“Hakikatnya, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutamanya dari institusi kewangan dan juga dari sektor awam,” kata mereka, sambil membangkitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memerlukan pembayar cukai menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun.
“Kami menyangkal serta menolak tuduhan ini (kekayaan diperolehi daripada salah guna kuasa) dan ingin membuktikan bahawa apa sahaja yang kami perolehi selama ini adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran yang betul dan tanpa melibatkan sebarang aktiviti jenayah,” kata mereka lagi.- 27/4/2024
SPRM beri lanjutan tempoh lagi pada Mirzan dan Mokhzani isytihar harta…
Usaha mengumpul maklumat terperinci mengenai aset mereka segala macam sejak 1981 iaitu bermula tahun pertama bapa mereka Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri seperti diminta oleh SPRM nyata perlu waktu yang panjang.
Sebelum ini SPRM telah meluluskan permohonan Mirzan Mahathir dan adiknya Tan Sri Mokhzani Mahathir untuk lanjutkan tempoh dari sebulan ke sebulan sejak meminta mereka berdua isytihar harta pada bulan Januari lalu.
Pada Jumaat, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, peguam yang mewakili Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memberitahu mereka sudah dapat notis lanjut tempoh sebulan lagi.
Mirzan dan Mokhzani dilaporkan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001
Mirzan dipanggil SPRM pada 18 Januari lalu dan diberi notis isytihar harta dan selepas itu pada 26 Januari Mokhzani pula dipanggil dan diberi notis sama.
Pada 8 Februari dua beradik berkenaan mengeluarkan kenyataan media meminta SPRM ‘bersabar’ dan menjelaskan adalah usaha yang rumit untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.- 26/4/2024
Panjang cerita…Mirzan mohon lanjutan sebulan lagi isytihar harta pada SPRM
Kalau ada yang menduga sesuatu berita besar akan muncul dalam masa terdekat mengenai isu pengisytiharan harta dua anak Tun Dr Mahathir – Mirzan dan Mokhzani kepada SPRM…jawabnya mereka perlu bersabar.
Mudah cakap…panjang cerita.
Nampaknya setakat ini kedua mereka belum beres siapkan proses seperti dikehendaki oleh SPRM.
Malah Mirzan telah memohon kepada SPRM untuk lanjutkan tempoh untuknya sebulan lagi.
Sebelum ini anak kedua Dr Mahathir itu diberi sebulan tempoh antara 15 Januari sehingga 15 Februari.
Kemudian beliau memohon lanjutan sebulan lagi dari 15 Februari sampai 15 Mac.
Difahamkan SPRM telah meluluskan permohonan baru untuk lanjutkan tempoh sebulan lagi yakni hingga 15 April.
Mokhzani anak ketiga Dr Mahathir pula asalnya diberikan tempoh 25 Januari sehingga 25 Februari untuk mengisytihar harta.
Beliau telah memohon untuk dilanjutkan sebulan sehingga 25 Mac dan ia diluluskan oleh SPRM.
Setakat ini Mokhzani belum memohon lanjutan tempoh seperti abangnya.
Bagaimanapun ada pemerhati yang menduga besar kemungkinan Mokhzani akan kemuka permohonan sama.
Kedua mereka telah diberi notis isytihar di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 setelah dipanggil ke ibupejabat agensi itu untuk bantu siasatan Januari lalu.
Mirzan dan Mokhzani telah mengeluarkan kenyataan bersama pada 8 Februari lalu memberitahu mereka sedang menyusun maklumat mengenai pengisytiharan aset seperti diminta SPRM.
Menurut mereka usaha berkenaan memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkaitan untuk membantu dan menasihati.
Dr Mahathir dalam ulasan awalnya mengenai siasatan keatas dua anaknya itu mendakwa adalah tidak masuk akal bagi SPRM yang meminta Mirzan dan Mokhzani mengumpulkan segala bukti dan transaksi sejak dari 1981 hingga sekarang dalam tempoh 30 hari.
Bekas Perdana Menteri itu kata beliau mahu SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan dan menuduhnya di mahkamah bukannya dengan mencari anaknya.
Beliau juga dakwa tindakan SPRM siasat mereka adalah untuk membongkar segala kesalahan yang dilakukannya selama ini.
Setakat ini secara rasmi jumlah kekayaan dan aset Mirzan tidak diketahui.
Namun ada tulisan pada 2018 dimana sumber anggar beliau waktu itu bernilai lebih RM700 juta.
Mokhzani pula pernah masuk dalam senarai Forbes sebagai salah seorang terkaya di Malaysia pada tahun 2014 dimana beliau dikatakan bernilai lebih RM3 billion.- 17/3/2024