FOKUS

Menjelang ‘perang besar’ di Kuala Kubu Bharu…

Langkah Perikatan Nasional (PN) untuk pilihanraya kecil (PRK)kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini sudah dapat dibaca awal awal lagi.

Seperti yang diduga oleh ramai pemerhati politik ia pertaruhkan orang dari parti Bersatu Khairul Azhari Saut untuk berentap dengan calon Pakatan Harapan dari DAP Pang Sock Tao.

Parti Gerakan ibarat guruh berdentum yang hujan tidak turun.Harapan parti itu untuk tumpang glamour jadi ayam tambatan PN dalam PRK yang curi perhatian ramai ini tidak kesampaian.

Khairul berusia 54 tahun merupakan anak tempatan dari Felda Sungai Tengi kini ialah Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor.

Beliau mengambil alih kepimpinan Bersatu bahagian Kuala Kubu Bharu selepas ketuanya Md Anuar Mohd Nor keluar parti ketika pilihan raya negeri Selangor tahun lepas.

Pang ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming manakala Khairul merupakan orang koprat.

Dalam bahasa mudah pilihanraya kecil di Kuala Kubu Bharu ini adalah antara calon Melayu VS calon Cina.

Tumpuan PRK tentunya hanya pada mereka berdua.

Mana mana calon lain yang mungkin tampil pada hari penamaan calon pada 27 April nanti dikira sebagai kacau daun saja.

Kuala Kubu Baharu, yang merupakan salah satu dari tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Dari 36,362 pengundi kawasan DUN itu 46 peratus adalah Melayu ,30 peratus Cina ,18 peratus India dan bakinya orang asli.

Sejak tiga pilihanraya lalu kawasan DUN itu dimenangi calon DAP mendiang Lee Kee Hiong yang meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Pada pilihanraya 2018 mendiang kalahkan calon MCA dengan majoriti 7,134 undi dan pada pilihanraya negeri Ogos tahun lalu menewaskan calon Gerakan dengan majoriti 4,119 undi.

Di masa lampau DUN Kuala Kubu Bharu tidak pernah masuk dalam radar hu ha politik negara.

Ia terletak di kawasan yang dikira ‘sleepy hollow’ di Selangor.

Namun kini suasana lain cerita.

Siapa pun menang pada PRK ini tidak akan ubah apa apa….yakni PH tetap pelopor kerajaan di negeri Selangor dan tetap pelopor kerajaan perpaduan di pusat.

Pertaruhannya ialah imej gabungan PH dan PN dalam arina politik negara.

Kemenangan calon PH sudah tentu akan mengkukuhkan keyakinan rakyat pada kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas pilihanraya umum November 2022.

Antara faktor yang pasti boleh dijual ialah calon DAP dapat diterima baik oleh pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

Kemenangan ini juga akan menjadi tamparan hebat terhadap Pengerusi PN Selangor yang juga bekas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang berazam untuk tawan balik negeri primadona itu.

Bagi PN jika berjaya di Kuala Kubu Bharu ia dapat melaung dengan nyaring bahawa ‘gelombang hijau’ yang diciptanya menerusi sebilangan kemenangan pada PRU November 2022 tidak dapat disekat lagi.

Jadi jangan hairan jika melihat ‘perang besar’ sepanjang tempoh kempen rasmi nanti.- 26/4/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button