Isu kalimah Allah: Perkara sensitif babitkan umat Islam sukar dimaafkan…- kata Menteri JPM

Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart masih panas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut tampil bersuara.
Katanya “Perkara sensitif membabitkan umat Islam sukar untuk dimaafkan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.”
Beliau berkata, Allah adalah pencipta dan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan dan isu itu juga tidak boleh diremehkan.
Ditemui wartawan selepas satu majlis di Putrajaya Ahad beliau berkata terdapat pihak yang menyatakan jangan terlalu sensitif berkenaan isu itu, namun disebabkan kalimah Allah ia sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam.
Menurut Dr Mohd Nai’im syarikat yang bertanggungjawab sudah menghantar permohonan maaf mereka atas apa yang terjadi dan kemaafan itu diharap tidak akan berulang lagi pada masa depan.
“syarikat terbabit serta pemborong perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku,”katanya.
Dr Mohd Na’im berkata, isu terbabit sangat sensitif dan perlu diberi ruang kepada umat Islam yang masih dalam keadaan marah, selain laporan polis turut dibuat.
“Saya sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Mart untuk berbincang dan jalankan siasatan.
“Beri kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar dan diharap kepada pihak yang terbabit selepas minta maaf jangan ulang perkara sama termasuk membabitkan isu 3R,” katanya.
Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak KK Mart supaya menaikkan kain rentang memohon maaf di setiap 881 cawangan mereka dalam tempoh masa dua hari.
Beliau beri amaran kegagalan pihak berkenaan berbuat sedemikian, Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas kedai rangkaian serbaneka tersebut.
“Sebelum ini tak dapat disiasat disebabkan tiada laporan polis, pada malam ini pemuda UMNO seluruh Malaysia telah digerakkan untuk buat laporan polis,” katanya menerusi hantaran di Facebook Ahad.
Sebelum ini, KK Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah SWT di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.
“Kami kesal dan memandang serius akan perkara ini, untuk makluman, produk ini adalah konsainan daripada pihak vendor.
“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini,” katanya.- 17/3/2024