Siti Dhia Batrisyia,12 tidor di surau sekitar KL semasa ‘hilang’ lima hari

Bayangkan dalam usia 12 tahun merayau tidak tentu arah dan bermalam di beberapa surau sekitar 9 kilometer dari rumahnya…akhirnya ditemui selamat.
Kisah Siti Dhia Batrisyia cukup menegangkan walaupun ia berakhir dalam suasana amat melegakan.
Apa yang berlaku padanya boleh menimpa pada mana mana keluarga.
Mengenangkan beberapa kes ngeri melibatkan kanak kanak yang berlaku dari masa ke semasa kisah ini perlu dijadikan iktibar.
Siti Dhia ‘lari’ dari rumahnya di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng,tidak jauh dari Stadium Merdeka Kuala Lumpur petang Selasa lalu selepas berselisih faham dengan ibunya.
Dia ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai,Wangsa Maju pada jam 2.28 pagi Ahad.
Sebelum kejadian ibunya Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili telah menegur Siti Dhia selepas diberitahu oleh seorang guru dia tidak pergi sekolah sedangkan pagi itu lengkap berpakaian sukan.
Siti Dhia dakwa dia tidak ke sekolah kerana pergi beli hadiah sebagai kejutan untuk ibunya.
Dia merungut semua orang tidak percaya padanya dan dipercayai bimbang dimarahi oleh bapanya Mohd Chairil Anuar apabila diberitahu tidak ke sekolah oleh ibunya nanti.
Syarifah Rosfazila kata kemudian dia keluar sekejap untuk beli barang dapur dan sekembalinya ke rumah Siti Dhia sudah tiada.
Katanya dia mula bimbang bila anaknya itu tidak pulang menjelang buka puasa.
Dia juga pergi ke rumah jiran jiran dan kawan kawan kawan anaknya hingga ke sekolah tetapi tidak dapat sebarang khabar.
Menurutnya ini kali pertama anaknya berkelakuan begitu.
Semasa kehilangan Siti Dhia berlegar desas desus mungkin dia ikut seorang lelaki dewasa yang dikenalinya.
Walaupun berusia baru 12 tahun namun dia kelihatan lebih matang dari itu seperti berusia 15 tahun.
Serentak dengan itu kehilangan murid perempuan Sekolah Kebangsaan Pudu 1 itu mula tersebar di media dan facebook.
Setelah keluarganya melalui hari hari yang meresahkan mereka akhirnya mendapat khabar gembira pada awal pagi Ahad.
Siti Dhia ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai pada 2.28 pagi.
Penemuanya oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dimaklumkan kepada keluarganya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.
Setelah diserahkan kepada ibubapanya mereka langsung bawa Siti Dhia ke Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan keatasnya.
Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan tiada sebarang perkara mencurigakan berlaku terhadap kanak kanak itu.
Menurut Siti Dhia sepanjang keluar rumah dia tidur di surau-surau di sekitar Ampang, Setiawangsa dan Taman Sri Rampai dengan bawa duit sebanyak RM25 sahaja.
Pada waktu itu lepas subuh, dia akan keluar surau dan berjalan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya masa keluar dari rumah petang Selasa lalu dia terus keluar macam itu sahaja tanpa fikir dan rancang pun.
“Masa tu saya takut, saya buat benda baik (tidak pergi sekolah tapi pergi beli hadiah ulang tahun) tapi mama dan babah macam tak percaya.”
Apapun Siti Dhia akui kesilapannya.“Saya minta maaf sebab lari, janji saya tak buat lagi,’’ itu kata-kata yang diluahkan olehnya selepas kembali ke pangkuan keluarganya.- 17/3/2024