FOKUS

KDN teruskan siasatan walaupun KK Mart dan vendornya mohon maaf

Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 36 laporan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai-kedai serbaneka KK Mart.

Satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan bertarikh 14 Mac lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata walaupun permohonan maaf telah dikemukakan oleh pihak KK Mart dan vendor-vendor yang terlibat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan serta kegusaran awam itu.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai isu berkenaan.

“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan pemeriksaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan yang kita buat mendapati KK Mart telah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara,” katanya.

Shamsul berkata, siasatan lanjut dilaksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking tersebut tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak-pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita sentiasa memantau supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” tegasnya.

Sementara itu dalam perkembangan isu berkaitan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi kata MCA sepatutnya menegur KK Mart, dan bukannya menjadi pembela membabi buta kepada kedai serbaneka itu.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, yang meminta Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh supaya tidak “memperbesar-besarkan” isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Menganggap Chong sebagai “memandai-mandai” bertindak mempertahankan KK Mart Mohd Puad berkata, isu tersebut bukannya tindakan yang semberono.

Sebaliknya, kata Mohd Puad, umat Islam rasa kecewa dan marah atas kejadian tersebut.

“Setiausaha Agung MCA cuba memandai-mandai jadi pembela kepada kedai serbaneka KK Super Mart.

“Ini bukan membesar besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam pelanggan utama KK Mart.

“Dakwaan Chong bahawa boikot terhadap KK Super Mart adalah membabi buta dan semborono menambah sakit hati pengguna umat Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Isnin.

Semalam Chong dilaporkan berkata, Akmal tidak seharusnya membuat gesaan agar rangkaian kedai itu diboikot secara semberono.

“Saya juga ingatkan Ketua Pemuda Umno supaya tidak memperbesar-besarkan isu stoking KK Super Mart, dan jangan bermain taktik boikot membabi buta.

“Jika tidak, yang menjadi mangsa tetap negara kita sendiri,” kata Chong.

Mohd Puad juga bertanya, apa yang dimaksudkan Chong bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara menjadi mangsa.

“Mana lebih berat jika berlaku huru-hara berbanding boikot?

“Sekurang-kurangnya tidak ada kedai KK Super Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga.

“Sepatutnya MCA menegur KK Mart dan bukannya jadi pembela membabi buta kepada KK Mart. Hormati kuasa pembeli umat Islam,” katanya.-18/3/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button