
Disiasat ‘gotong royong’ makan rasuah…
Ini ibaratnya ‘gotong royong’ makan rasuah.Asalnya seramai 15 orang penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.
Namun 10 dari mereka telah ditahan reman dan lima lagi dibebaskan.
Perintah reman selama empat hari bermula 20 sehingga 23 Mac 2024 terhadap mereka dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Mereka berusia sekitar 30 hingga 50an telah ditahan bersama lima lagi individu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, petang Selasa.
Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Samba 2.0 dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.
Modus operandi sindiket ini termasuk menggunakan khidmat ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.
Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.
Malah mereka dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.- 20/3/2024