
Ini pendirian PM mengenai isu jualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart…
Sejak meletupnya isu jualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart yang heboh kebelakangan ini ramai yang menunggu untuk dengar reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Para wartawan telah bersua dengannya semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Petugas Media di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya petang Rabu.
Anwar nampaknya jelas berpendirian mahu meredakan segara isu yang berlarutan sejak 13 Mac lalu bila tular dalam media sosial pasal stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway,Selangor.
“Pandangan saya jelas. Ada laporan, ada keterlanjuran, mesti ada tindakan segera. Kemudian keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.
“Kenapa kita perlu terperangkap dalam isu yang berpanjangan. Ada laporan, ambil tindakan. Jangan ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam,” katanya.
Apapun Perdana Menteri menegaskan hukuman terhadap pihak terbabit tidak seharusnya berlebihan.
“Jangan kita terus dengan perbincangan ini seolah-olah ada malapetaka besar dalam negara ini. Ambil tindakan tegas, segera. Dan kita kemudian harus maju dalam lapangan yang nak kita terokai.
“Hukuman pun jangan hukuman yang melampau. Ada orang lakukan kesalahan sebagaimana kita juga lakukan kesalahan. Janganlah seolah-olah macam mendera orang lebih dari yang sepatutnya,” kata Anwar.
Mengenai ahli politik dalam kerajaan yang dilihat bertikam lidah mengenai perkara itu, beliau berkata kerajaan adalah demokratik dan percaya kepada kebebasan untuk bersuara secara kritis.
“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tak boleh diikut sistem walak. Dalam parti yang mengekang pemikiran bebas, ia tidak mengizinkan. Kita membolehkan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang ditemui wartawan di Maktab Rendah Sains Mara Trolak di Slim River,Selasa juga mahu isu ini diselesaikan segara agar ia tidak disalah tafsir dan tidak ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan.
Katanya isu tersebut memang dianggap melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja-raja Melayu) justeru ia tidak boleh dipandang ringan sekalipun KK Mart sudah memohon maaf.
Pada masa sama, Presiden UMNO itu berkata, pihaknya meminta Dr Akmal Saleh selaku ketua sayap pemuda parti terbabit menyantuni perkara tersebut.
“Dan kita berharap pandangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong kita jadikan sebagai asas,” katanya.- 20 /3/2024