FOKUS

Polis dah serah siasatan lengkap kes kalimah Allah kepada Jabatan Peguam Negara

Apa saja tindakan keatas pihak yang terlibat dalam isu stoking tetera kalimah Allah kini terletak sepenuhnya pada budibicara Jabatan Peguam Negara (AGC).

Polis sudah lengkapkan siasatan dan dua kertas siasatan yang lengkap sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Khamis.

Hal ini diberitahu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain daolam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

“Kertas siasatan sudah lengkap. Kita tunggu arahan terakhir dan terkini daripada AGC. Apabila sudah diberikan (arahan) kita akan maklumkan apa arahan AGC,” katanya.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily, berkata secara keseluruhan polis membuka empat kertas siasatan berkait isu ini termasuk dua kertas siasatan terhadap dua individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap isu ini.

“Dua individu sudah dituduh berhubung isu penghinaan, masing-masing kes Sabah dan Kelantan dengan kedua-dua suspek mengaku salah dan sudah dijatuhkan hukuman denda serta penjara.

“Setakat ini, sebanyak 143 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu ini.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka terhadap KK Super Mart dan satu kertas siasatan dibuka terhadap syarikat kilang pengedar susulan empat laporan polis diterima,” katanya.

Tambah beliau, seramai 174 saksi dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan termasuk pengasas KK Mart serta pekerjanya termasuk pekerja di pejabat, kedai dan pemandu lori.- 22/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button