Isu sogokan: MP PN Tanjong Karang lawan balik dakwaan Wan Saiful pasal jadi ‘ejen’ alih sokongan

Ahli Parlimen Tanjong Karang PN Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dakwa imejnya tercemar gara gara didakwa Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan jadi ejen untuk alih sokongan kepada Perdana Menteri.
Katanya beliau tiada dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu waktu Wan Saiful buat dakwaan beliau dan Ahli Parlimen PN Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim cuba pujuknya.
Bercakap dalam sidang akhbar Dr Zulkafperi kata beliau telah memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Katanya usul itu adalah berkaitan kenyataan Wan Saiful di Parlimen yang dianggap sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan dengan tuduhan terhadap dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong kerajaan.
“Kenyataan itu juga dilihat semata-mata untuk mengaibkan atau mengheret saya dalam agenda peribadi beliau bagi memburukkan imej saya selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menyokong Kerajaan Madani.
“Usul telah dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi tadi (Jumaat) bagi membolehkan saya membalas sangkaan jahat itu di Dewan Rakyat, Isnin ini,” kata beliau.
Zulkafperi menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai tidak bertanggungjawab dan beliau tidak dapat memberikan penjelasan semasa tuduhan dibuat kerana terpaksa pulang bagi menyambut kunjungan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Tanjong Karang.
“Oleh kerana saya tiada di Dewan Rakyat semasa kenyataan itu maka saya akan bawa usul tersebut bagi membetulkan sangkaan jahat yang dibuat,” katanya.
Pada Khamis, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.- 22/3/2024