Kejadian lontar bom petrol di KK Mart Bidor…Dr Akmal dakwa berdepan ugutan

Ini sudah lain cerita…satu kejadian melontar bom petrol terjadi pada sebuah cawangan kedai KK Mart di Bidor,Perak.
Kejadian berlaku kira kira jam 5 pagi Selasa.
Bagaimanapun bom petrol yang dilontar pada kedai berkenaan terletak di Jalan Bruseh itu tidak meletup.
Juga tiada siapa yang cedera dan pekerja KK Mart berkenaan membuat laporan polis sebaik sahaja insiden itu berlaku.
Seorang pekerja KK Mart itu memberitahu ketika kejadian hanya ada dua pekerja di pasar raya itu dan orang ramai masih belum kelihatan di kawasan sekitar ekoran masih awal pagi.
Katanya kejadian itu disedari oleh rakan sekerjanya yang melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pasar raya berkenaan.
Menurutnya sejurus kereta itu berhenti, seorang lelaki dilihat keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan melontar botol sedang terbakar ke arah pasar raya berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada letupan yang berlaku dan hanya botol itu yang masuk ke dalam pasar raya ini dan ia sudah tidak terbakar.
“Pekerja yang menyedari perkara itu terus memaklumkan kepada kedai berhampiran dan mereka melaporkan kepada pihak polis,” katanya.
Rakaman televisyen liter tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki mencampakkan objek yang sedang terbakar dipercayai molotov cocktail ke arah pasar raya itu.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendakwa menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali pada Selasa.
Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka itu berkata, dakwaan ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang,Jasin pagi tadi.
“Saya terima satu panggilan telefon daripada seorang hamba Allah yang menyatakan bahawa dia risau kerana dia mendengar ada ugutan bunuh terhadap saya, malah dia memaklumkan, ugutan jika Ketua Pemuda UMNO ini terus bercakap mengenai soal (pasar mini) KK Mart ini dia pasti akan ditembak mati satu hari nanti.
“Jadi, hamba Allah ini menunjukkan dia betul-betul serius mengenai ugutan yang didengari ini dan dia pun sudah membuat laporan polis mengenai apa yang dia sendiri dengar.
“Insya-Allah, jam 5.30 petang ini saya juga akan buat laporan polis untuk melindungi saya dan juga keluarga. (Bagaimanapun) jangan risau, saya tidak akan berganjak walau seinci terhadap pendirian (sebelum ini). Saya akan tetap (teguh dengan pendirian) sebab saya percaya dalam Surah Muhammad, ayat tujuh Allah berfirman: “Kalau kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu, malah akan meneguhkan lagi pendirian kamu.”
“Kita ada Allah, Lillahi Taala, insya-Allah saya serahkan (segalanya) kepada Allah dan juga pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. Jangan mengalah, kekal boikot,” katanya.
Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin lantang menyuarakan bantahan terhadap penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac lalu.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO melancarkan kempen boikot KK Mart di seluruh negara.
Berkaitan perkembangan terbaru ini Dr Akmal Saleh mengecam tindakan membaling bom petrol di cawangan KK Mart di Bidor.
Dia berkata tindakan melampau seperti itu tidak boleh diterima.
“Sudah tentu kami mengecam sekerasnya tindakan melampau itu,” katanya.
Akmal bagaimanapun berkata kempen boikotnya terhadap KK Mart akan diteruskan, tetapi menasihati mereka yang memboikot supaya bertenang.- 26/3/2024