SPRM luluskan permohonan Mokhzani lanjutkan tempoh isytihar harta sebulan lagi…

Asalnya tempoh sebulan dari 25 Januari hingga 25 Februari 2024.Kemudian SPRM bagi kebenaran dilanjutkan tempoh sebulan lagi hingga 25 Mac.
Terbaru SPRM bagi lanjutan tempoh sebulan lagi hingga 25 April kepada Tan Sri Mokhzani Mahathir bagi mengisytihar harta.
Ini bermakna sudah dua kali tokoh koprat anak Tun Dr Mahathir Mohamad diberi lanjutan tempoh.
Pada 26 Januari lalu, SPRM telah menyerahkan satu perintah notis kepada Mokhzani untuk beliau mengisytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini SPRM juga telah meluluskan permohonan abang beliau Mirzan untuk lanjutkan tempoh sebulan sehingga 15 April yakni juga lanjutan kali kedua.
Mirzan asalnya diberikan tempoh sebulan antara 15 Januari sehingga 15 Februari untuk berbuat demikian namun memohon untuk melanjutkannya sehingga 15 Mac.
SPRM mengarahkan Mokhzani dan Mirzan untuk mengisytiharkan harta mereka sejak 1981 yakni tahun yang sama Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Kedua-duanya memang dikenali sebagai ahli perniagaan dan dikatakan memiliki kekayaan yang besar.
SPRM menyatakan siasatan dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan. Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Suruhanjaya itu menyatakan siasatan dimulakan pada Ogos 2022 terhadap semua entiti yang disebut dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki enggan mengulas dakwaan dua anak Dr Mahathir itu pada Bloomberg kononnya bapa mereka adalah sasaran sebenar siasatan SPRM berhubung kewangan mereka.
Ketika dihubungi media, Azam berkata beliau perlu melihat fakta terlebih dahulu berhubung dakwaan terbabit.- 27/4/2024