FOKUS

Isu stoking kalimah Allah: ‘stand down… sudah-sudahlah’

“Saya nak ambil peluang untuk menasihatkan semua pihak, stand down… sudah-sudahlah”. Itu kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengenai keadaan semasa isu stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata ketika ini keadaan agak panas dan isu stoking yang mengundang kemarahan sesetengah pihak boleh menjadi pemangkit kepada krisis yang lebih buruk.

Bercakap dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Rabu Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak menyumbang apa-apa yang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan di dalam negara.

Beliau menyokong cadangan bekas menteri dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, agar semua pihak “stand down” kerana pelbagai tindakan sudah dan sedang diambil pihak berkuasa.

Semalam Khairy dalam siaran podcast Keluar Sekejap menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan umat Islam yang marah terhadap KK Mart agar menghentikan kecaman mereka terhadap syarikat itu.

Khairy berkata, kemarahan umat Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah telah disuarakan dengan jelas dan tiada keperluan lagi untuk terus melanjutkannya.

“Pertamanya, bagi orang Islam, kita kena berhenti sekejap. Are we going too far (Adakah kita telah melampau)?

“Dan mungkin kita bagi nasihat kepada sahabat kita, Akmal. Anda telah nyatakan pendirian anda. Saya sebenarnya tak salahkan Akmal. Memang tugas dia sebagai ketua pemuda (Umno).

“Tetapi sekarang masanya untuk berhenti. Kita serah kepada pengguna Islam di Malaysia sama ada mereka nak pergi KK Mart atau tidak,” katanya

Mohd Shuhaily kata,”Saya bersetuju apa yang saudara Khairy kupas, pihak kami cukup bimbang ada perkara (yang asalnya) tidak libatkan isu perkauman tapi libatkan dua kaum berbeza, ia boleh dijadikan pemangkin kepada isu ini (perkauman).

“Kami tak nak lihat insiden seperti Kampung Medan berulang, ia hanya memburukkan imej negara,”katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di facebook pada Rabu Dr Akmal berkata untuk meredakan keadaan beliau serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan semua pihak yang terlibat sehingga mereka ini didakwa di mahkamah semalam.

“Kita menghormati proses undang2 untuk dilaksanakan mengikut aturannya tetapi pada masa yang sama kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan agar ia memberikan pengajaran yang hebat kepada mereka dan mana2 pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan.

“Kita juga mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KKmart dan ugutan bunuh terhadap saya.”katanya.- 27/3/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button