Wednesday - 18, June 2025

Polis tahan wargaemas yang kata Dr Akmal lebih lebih isu KK Mart satu hari pasti kena tembak mati…

Share

Gara gara suarakan ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana tidak puashati kelantangannya dalam isu stoking kalimah Allah…seorang wargaemas ditahan polis.

Wargaemas berusia 68 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 Selasa di sekitar kawasan Kandang,Melaka selepas menerima satu laporan daripada pengadu yang terdengar kata-kata ugutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pengadu yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun terdengar ugutan disuarakan suspek ketika berada di sebuah bengkel kereta miliknya.

“Pada 20 Mac lalu semasa pengadu berada di bengkel kereta itu, suspek telah memberitahu bahawa ‘Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr Akmal Salleh) lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak mati’.

“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki tersebut dan pada pagi tadi pengadu telah tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut sebelum suspek kemudian ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Christopher berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan satu pondok yang didirikan untuk menjalankan kerja membaiki kenderaan.

Menurutnya suspek mengaku memberitahu pengadu ketidakpuasan hatinya terhadap kenyataan yang dikeluarkan Dr Akmal.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku memberitahu pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Akmal mengenai isu KK Mart.

“Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis kerana sakit dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

Dalam hal yang berkaitan Dr Akmal telah buat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Exco Melaka itu berkata laporan yang dibuat kira-kira 5 petang Selasa adalah bagi melindungi keselamatan diri dan keluarga daripada ancaman.

“Saya fikir ia perkara yang serius untuk saya melindungi keselamatan ahli keluarga, walaupun pada mulanya saya tak nak buat.

“Kita tunggu apa keputusannya selepas ini dan berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan,” katanya kepada media selepas membuat laporan itu.

Dr Akmal berkata meskipun menerima ugutan sebegitu, beliau tidak akan berganjak walaupun seinci dalam isu kalimah Allah pada stoking baru-baru ini.

Beliau berkata perkara itu bukan isu politik dan perkauman, tetapi isu bagaimana umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela agama daripada dihina.

“Walaupun dengan ugutan yang ada ini, saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan berkenaan.- 27/3/2024

Read more

khabar terbaru