Najib dakwa pengampunan diraja turut benarkan beliau jalani tahanan di rumah

Satu perkembangan baru yang mencuri perhatian ramai timbul bila bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sedang jalani hukuman penjara mendakwa pengampunan diraja Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.
Najib membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpuri, pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Najib turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi “dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah”.
Beliau turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.
Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Yang Dipertuan Agong.
Beliau turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.
Pendengaran untuk permohonan itu ditetapkan esok Khamis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh.
Pada 2 Februari lalu Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.
Sebelum itu pada 28 Julai 2020, Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.- 3/4/2024