FOKUS

Pilihanraya kecil Kuala Kubu Baharu…penamaan calon 27 April…undi 11 Mei

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor akan diadakan pada 11 Mei ini.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 27 April.

Ini bermakna tempoh berkempen ialah selama 14 hari.

Ia diumum oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di Putrajaya pada Khamis.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

“Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.- 4/4/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button