Wednesday - 25, June 2025

KEMASKINI : Kertas siasatan kes Dr Akmal dijangka siap dalam tempoh lima hari…sebelum dihantar ke Peguam Negara – KPN

Share

Polis sedang melengkapkan kertas siasatan isu KK Mart keatas Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh setelah keterangan diambil darinya di Ibupejabat Polis Kota Kinabalu semalam,Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menjangka kertas siasatan itu siap dalam tempoh lima hari lagi sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan selepas keterangan diambil daripada beliau semalam,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajidi memberitahu UMNO akan sediakan barisan peguam untuk tangani kes Akmal.

Dalam pada itu pada Sabtu Ahli Parlimen PKR kawasan Pasir Gudang,Johor Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam menawarkan dirinya menjadi peguam bela kepada Akmal jika beliau diheret ke mahkamah atas pertuduhan bawah Akta Hasutan.

“Oleh kerana saya…secara peribadi telah pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan tersebut maka sebagai seorang peguam dan ahli parlimen Malaysia yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia merdeka ini, maka saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal, Ketua Pemuda Umno sudi dan bersetuju untuk menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal.

“(Ini) jika sekiranya beliau pada akhirnya tetap akan dituduh di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya pada satu kenyataan.

Hassan berkata Akmal tidak sepatutnya disiasat di bawah Seksyen4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain kerana “kedua-dua akta tersebut bersifat kuku besi dan zalim.”

Ahli parlimen PKR itu juga membangkitkan manifesto pilihan raya PH yang berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Ketua Pemuda Umno itu sewajarnya disiasat di bawah Section 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan. Yang berkait dengan kesalahan kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh tetapi hak beliau untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stokin yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara,” kata Hassan lagi.- 6/4/2024

KEMASKINI…Dr Akmal dibebaskan…lepas 2 jam beri keterangan di IPD Kota Kinabalu

Selesai buat sementara waktu…Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dibebaskan oleh polis selepas selesai beri keterangan isu KK Mart selama dua jam di ibupejabat polis Kota Kinabalu,Sabah.

Beliau sebelum itu ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 10.15 pagi.

Asalnya Dr Akmal dijadual beri keterangan di ibupejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur esok Sabtu.

Beliau datang ke Sabah untuk hadir acara Ramadhan di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, beliau ia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

Difahamkan polis ambil keterangan beliau ekoran laporan polis mengenai ucapan di satu ceramah di Kelantan.

Namun Akmal nafi ia berunsur hasutan.

“Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang bersuara dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di sebuah cawangan KK Mart di Petaling Jaya baru baru ini.

Beliau juga menganjur gerakan boikot kedai serbaneka itu.- 5/4/2024

BERITA SEBELUM INI : Isu KK Mart…Dr Akmal Saleh ditahan polis

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh asalnya dijadual beri keterangan kepada polis mengenai isu KK Mart di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok,Sabtu.

Namun beliau ditahan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi Jumaat.

Selepas ditahan disitu beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu.

Dr Akmal kata beliau akan beri kerjasama sepenuhnya kepada polis

Apapun tegasnya beliau tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian mengenai isu berkenaan.

“No fear, no surrender,” katanya menerusi paparan video ringkas sebelum dibawa beredar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Di Fahamkan Dr Akmal datang ke Sabah untuk menghadiri majlis Kembara Ramadan Pemuda UMNO Malaysia yang dijadualkan diadakan di Beaufort pada Jumaat.

Sebelum ini dicelah kehangatan isu KK Mart beberapa pihak telah desak pihak berkuasa ambil tindakian terhadap Dr Akmal.

Sementara itu menerusi satu kenyataan Jumaat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Dr Akmal mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Muktimedia 1998.

Katanya ia susulan dua laporan polis diterima berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda Umno itu berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

“Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking itu memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah,” katanya.

Read more

khabar terbaru