Isu 3R…ini mesej jelas dari PM

“Saya telah tegaskan dan saya perlu tekankan kita tidak akan bertolak ansur. Tidak peduli siapa, kedudukan dia, parti mana, jangan diugut sekiranya diambil tindakan apa lagi jika menyentuh 3R.
“Ini menyentuh kedudukan raja-raja terutamanya. Institusi negara tonggaknya mesti dipertahankan termasuk prinsip Perlembagaan hak Islam dan bukan Islam semua itu tertera dalam Perlembagaan.
“Cabar itu kita akan ambil tindakan tegas. Kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum jangan pertikai.”
Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu pada sebelah pagi.
Anwar menjelaskan Ketua Pemuda Umno itu hanya dipanggil untuk disiasat dan bukannya ditahan seperti dinyatakan sesetengah pihak.
“Saya rasa bukan tangkapan dia dipanggil untuk disiasat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini tidak menggunakan isu sensitif seperti isu penjualan stoking tertera kalimah Allah untuk menghasut.
“Yang ini penting bagi kita faham bahawa kenyataan kerajaan.”
“Isu-isu ini kalau betul ada masalah, seperti stoking serius bagi orang Islam (pihak berkuasa akan) siasat tangkap, dakwa. Kita jalan terus.
“Jangan kita guna isu ini atau isu lain-lain untuk menghasut. Itu yang penting sama ada orang Islam atau bukan Islam,” katanya.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau,Melaka ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
Beliau dibebaskan selepas beri keterangan selama sekitar dua jam di Ibupejabat Polis Kota Kinabalu.- 5/4/2024