FOKUS

Vern’s keluar kenyataan minta maaf….hentikan jualan kasut…anggap logo disalahtafsir

Ekoran dari meletupnya isu lakaran menyerupai kalimah Allah di tapak kasut jenama tempatan Vern’s…pihak pengurusan syarikat itu segera mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada petang Ahad.

Syarikat itu telah menghentikan jualan kasut berkenaan serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli kasut berkenaan.

Apapun kata Vern’s pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Ia menjelaskan logo yang cetus kontroversi itu 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.( seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan)

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH VERN’S

Kenyataan Media oleh Pengurusan Vern’s Berkaitan Reka Bentuk Logo

Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.

Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Dan kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut.

Untuk pengetahuan semua, logo ini 100% diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sementara itu dalam reaksinya menerusi facebook Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengucapkan terima kasih atas penjelasan Vern’s Holding Sdn Bhd berhubung logo salah satu kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu.

Menurut Akmal, penjelasan bahawa logo itu bukan kalimah Allah memberikan kelegaan kepada umat Islam.

“Salah faham telah terungkai bahawa ia bukanlah kalimah Allah tetapi ia adalah logo kasut bertumit tinggi dan syarikat juga telah menghentikan pengeluaran kasut ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat atas penjelasan yang memberikan kelegaan kepada semua umat Islam.” katanya.




– 7/4/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button