
Kepimpinan Umno Selangor kesal dengan dakwaan Tengku Zafrul…
Seperti yang diduga kepimpinan Umno Selangor ‘kurang senang’ pada teguran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dakwa Umno negeri itu lesu dan hambar.
Akhbar Berita Harian memetik Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain sebagai memberitahu Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin tidak akan menjawab tuduhan Tengku Zafrul melalui media, sebaliknya akan bersemuka dengannya.
Tengku Zafrul yang kini merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja pada 1 April lalu umum letak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor kerana kecewa tidak nampak langkah konkrit untuk bangkit semula selepas kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan pilihanraya umum.
Beliau mengingatkan prestasi buruk Umno Selangor dalam PRU15 dan PRN 2023 sebagai amaran terakhir untuk berubah.
Mohd Zaidi yang juga Ketua Umno Bahagian Bangi berkata Tengku Zafrul perlu berhenti membuat kenyataan yang boleh mengaibkan dirinya sendiri serta mengelirukan ramai pihak, terutama ahli Umno.
“Sebaliknya, sebagai pemimpin parti, lebih baik dia menyertai usaha mengukuhkan parti bersama kepimpinan Selangor dan pusat daripada hanya menikmati hasil jerit perih perjuangan dilakukan ahli Umno yang ikhlas kepada parti walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi dalam parti mahupun kerajaan,” kata Mohd Zaidi seperti dipetik Berita Harian, hari ini.
Mohd Zaidi juga mendakwa Setiausaha Politik Tengku Zafrul yang juga Ketua Umno Bahagian Klang berkata menteri itu tidak memaklumkan kepadanya sebelum menyuarakan kritikannya.
“Selain itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja juga turut mengesahkan Tengku Zafrul tidak pernah berbincang dengan kepimpinan bahagian sebelum mengeluarkan tuduhan itu, walhal mereka ada bersama dalam program Umno bahagian sehari sebelum kenyataan itu dikeluarkan,” dakwanya lagi.
Juga katanya mesyuarat Umno Selangor malam tadi sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Megat Zulkarnain.
“Semua yang hadir menyatakan kekesalan dengan tuduhan Tengku Zafrul yang tidak berasas dan jauh daripada fakta sebenar, ” katanya.
Beliau berkata Umno Selangor sedang membuat penelitian menyeluruh dan merangka strategi baru selepas kekalahan dalam pilihan raya lalu.- 7/4/2024