
Pasangan suami isteri disyaki jual senjata pada lelaki Israel didakwa di mahkamah…
Pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana disyaki jual senjata kepada lelaki Israel, Shalom Avitan yang dicekup polis pada 27 Mac lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada Isnin.
Pasangan berkenaan ialah Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43.
Mengikut kertas pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang, iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, pada jam 8 malam 29 Mac lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.
Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama Syarifah Faraha, yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki itu mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, pada waktu dan lokasi sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Mereka berdua yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah.
Hakim menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.
Pasangan suami isteri itu yang menggangur diberkas di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom Avitan, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang di dalam kereta milik pasangan terbabit.
Shalom Avitan, 38, yang guna paspot Peranchis masuki ke Malaysia menerusi KLIA ditahan pada 27 Mac lalu di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger berserta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan awal oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu melalui penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sewaktu disoalsiasat polis dia mendakwa datang ke Malaysia untuk membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.- 8/4/2024