Polis setakat ini masih percaya motif kejadian tembakan di balai berlepas KLIA awal pagi Ahad lalu masih berkisar tentang isu peribadi di antara suspek dan isterinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain kata ,”buat masa ini tidak ada motif lain.”
Bercakap di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, Selasa beliau juga kata suspek mungkin nak lari ke Mekah.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang kini direman merancang untuk melarikan diri ke Mekah melalui sempadan Kelantan-Thailand.
Katanya polis yakin selepas menjadi buruan pihak berkuasa Hafizul Hawari cuba meloloskan diri melalui sempadan berkenaan untuk bersembunyi di negara lain.
Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat mengesahkan kaedah yang mahu digunakan lelaki terbabit bersama persediaan yang dibuatnya, termasuk sejumlah wang asing serta pasport.
“Memang dia kerap ke luar negara….saya tak menyangkal kemungkinan itu (mahu menuju ke Mekah), tapi setakat ini ia masih lagi suatu kemungkinan,” katanya.
Hafizul, 38, diberkas pihak berkuasa di Kota Bharu semalam selepas menjadi buruan kerana melepaskan tembakan ke arah isterinya di KLIA pada awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita berkenaan.
Mohd Shuhaily berkata tangkapan ke atas suspek berkenaan dibuat ketika dia mahu mengambil laporan ujian kesihatan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu.
Katanya lelaki terbabit juga menginap di sebuah hotel berhampiran dengan hospital berkenaan.
Menurut Mohd Shuhaily selepas kejadian di KLIA itu suspek terus bergerak ke Kelantan menggunakan sebuah kereta jenis Honda Civic yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dia dikesan pihak berkuasa.
“Polis mendapat maklumat bahawa suspek menginap di sebuah hotel di Kota Bharu, dari situ intipan dibuat sehinggalah membawa kepada penahanan suspek di hadapan sebuah hospital swasta.
“Suspek ketika itu mahu mengambil laporan ujian kesihatan dari hospital berkenaan,” katanya.
Susulan tangkapan itu Mohd Shuhaily berkata polis merampas sepucuk pistol jenis Glock-19 beserta lapan peluru hidup selain sekotak peluru dengan 24 butir peluru hidup serta enam telefon bimbit.
Tidak ketinggalan polis juga menemui dan merampas pasport milik suspek bersama sejumlah mercun bola, wang tunai dalam bentuk mata wang bhat Thailand dan riyal Arab Saudi, tiga kunci kereta, seutas jam tangan dan empat kad pengenalan milik orang lain.
Tambahnya berdasarkan siasatan awal juga, polis mendapati suspek seorang hafiz dan pernah belajar di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.
“Semasa soal siasat kami dapati suspek seorang hafiz, mahir dalam bidang agama dan al-Quran,” katanya.- 16/4/2024
Hafizul kes tembak di KLIA direman 7 hari…
Setelah berjaya ditahan di Kota Bharu 3 petang Isnin…Hafizul Harawi, 38 suspek kes tembak di balai ketibaan KLIA awal pagi Ahad dikenakan reman tujuh hari.

Perintah reman di dikeluarkan majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Dia akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu, diiring dan dikawal ketat oleh polis.- 17/4/2024
Hafizul yang cuba tembak isteri di KLIA ditahan di Kota Bharu…
Hafizul Marawi yang cetus kekecohan di balai ketibaan KLIA awal pagi Ahad dalam cubaan menembak isterinya telah ditahan polis di Kota Bharu kira kira 3 petang Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan tangkapan itu.
Beliau tidak beri butiran lanjut mengenai penahanan lelaki berusia 38 tahun itu dan beritahu maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, esok Selasa.
Menurutnya buat masa ini polis sedang proses siasatan lagi untuk dapatkan permohonan tahanan reman.
“Suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.
Polis dijadual membuat permohonan untuk menahan reman lelaki terbabit di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi esok.
Hafizul ditahan di Kota Bharu selepas melarikan diri selama kira-kira 36 jam sejak cuba menembak isterinya dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi Ahad di KLIA.
Suspek disyaki melepaskan dua das tembakan di dipercayai disasarkan untuk seorang wanita pengendali umrah dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita terbabit yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.
Hafizul kemudian melarikan diri dari lapangan terbang berkenaan dan pihak polis segera menjalankan usaha menjejak sehingga berjaya menangkapnya.- 15/4/2024
Tembakan di KLIA…gara gara pertikaian suami isteri yang dalam proses cerai
GAMBAR ATAS …Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) tunjuk gambar suspek kejadian tembakan di KLIA awal pagi Ahad bernama Hafizul Harawi. Di Sebelah kiri beliau ialah Pengarah Siasatan Jenayah Selangor Baharudin Mat Taib yang pegang satu lagi gambar.
Keadaan agak cemas mencengkam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seketika pada sekitar jam 1.30 awal pagi Ahad bila kedengaran dua das tembakan.
Namun ia bukan serangan pengganas atau ekstremis atau melibatkan jenayah sebaliknya tindakan seorang suami terhadap isterinya yang sedang dalam proses perceraian.
Wanita berkenaan menjadi sasaran lelaki itu namun pengawal peribadinya terkena tembakan mengakibatkan cedera di bahagian perut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kata suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di situ sebelum peluru yang dilepaskan terkena individu lain dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu.
“Mereka dalam proses penceraian dan polis sedang buru suspek ini yang dipercayai melarikan diri ke utara tanah air,” katanya.
Menurutnya, suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum salah satu peluru terkena seorang pengawal peribadi.
“Tembakan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya melarikan diri sejurus kejadian itu.
“Motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api,” katanya.
Sementara itu dalam sidang akhbar di KLIA Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain suspek yang terlibat dalam kes tembak di Balai Ketibaan KLIA 1 itu pernah ditahan pada Dis tahun lalu kerana mengugut isterinya.
Katanya ugutan itu menjadi punca wanita itu yang menjadi sasaran sebenar mengupah pengawal peribadi atas faktor keselamatan.
Shuhaily juga berkata penembak, Hafizul Marawi, 38, mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan menyamar sebagai penjawat awam.
“Kami sarankan suspek untuk menyerah diri di mana-mana balai polis kerana apa yang sudah terjadi sudah pun terjadi.
“Pihak polis akan menyiasat di bawah Seksyen 307 atas cubaan membunuh dan Seksyen 8 atas kesalahan memiliki senjata secara haram,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek telah memperoleh senjata api secara haram dan gerakan memburu giat dilaksanakan di seluruh negara.
Setakat ini, polis menyimpulkan tiada unsur keganasan kerana ia adalah dendam peribadi dengan sasaran tertentu.
Shuhaily turut mengesahkan suspek sedang melalui proses perceraian dengan isterinya.
Mengenai keadaan mangsa tembakan, Shuhaily berkata, pengawal peribadi itu kini dalam keadaan kritikal selepas ditembak di bahagian perut.- 14/4/2024