FOKUS

TPM Zahid sahkan lihat dokumen titah tambahan bekas YDP Agong Najib jalani tahanan di rumah

Tandatanya siapakah ‘saksi kritikal’ yang akan sokong dakwaan Datuk Seri Najib Razak wujudnya Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah…terjawab pada Rabu.

Orang berkenaan ialah ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu beliau mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya selain beliau dua individu lain yang melihat sendiri dokumen berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Zahid mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum tersebut yang bertarikh 29 Januari 2024.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi saya melihat dan membaca titah adendum, dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya dan bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama,” kata Zahid.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 1 April lalu, ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang dalam kes rasuah SRC International.

Menurut afidavit sokongan yang dibuatnya, Najib mendakwa titah adendum (tambahan) dalam pengampunan diraja membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Justeru, beliau memohon mahkamah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan, Kerajaan Persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.

Beliau turut memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan perkara itu, tetapi “dengan serta-merta mengeluarkan pemohon daripada penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan meneruskan hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah”.

Beliau turut memohon perintah mandamus agar responden memberikan versi asal adendum diraja tersebut, kos dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya pula, Najib mendakwa haknya terjejas dan dilanggar oleh responden dengan mengabaikan pertanyaannya berkenaan dakwaan bahagian tambahan tersebut.

Dakwanya, tindakan responden mengabaikan permintaannya merupakan pelanggaran terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain bersamaan dengan penghinaan kepada Agong.

Beliau turut mendakwa responden cuba menyembunyikan kewujudan bahagian tambahan itu.

Pada 4 April lalu, peguam Najib yakni Tan Sri Shafee Abdullah memaklumkan seorang “saksi penting” dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman Najib untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara enam tahun dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta dengan tahanan di rumah.

Beliau memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan apa yang didakwa sebagai titah adendum (tambahan) Yang di-Pertuan Agong yang dikaitkan dengan keputusan Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta terhadapnya.- 17/4/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button