Akmal mohon jawapan kepada isu tahanan rumah Najib

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membuat kenyataan menerusi facebooknya pada Rabu ekoran pengesahan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Sri Zahid Hamidi berkenaan kewujudan titah adendum (tambahan) bekas YDP Agong agar bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Beliau mendesak pihak yang berkaitan menjawab isu berkenaan.
“Melihat kepada senarai tersebut, terdapat dua menteri kabinet yang sepatutnya, tahu dan maklum seperti apa yang telah dinyatakan oleh YAB Presiden.
“Oleh demikian tidak sepatutnya menjadi isu atau keraguan bagi mereka untuk memperakuinya seperti diperlukan.
“Melainkan ada niat yang lain.
“Saya mohon untuk pihak yang bertanggungjawab untuk menjawab kepada persoalan ini,”katanya.
BERIKUTAN IALAH KENYATAAN PENUH DR AKMAL
Pengesahan YAB Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia DS Ahmad Zahid Hamidi berkenaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar DS Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah adalah satu berita baik dan amat positif. |
Beliau juga menegaskan bahawa titah adendum tersebut turut dilihat dan dalam pengetahuan anggota kerajaan yang lain seperti YM Tengku Zafrul (Menteri MITI) dan DS Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang).
Sehubungan dengan itu, merujuk kenyataan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee pada 17 April, bagi memastikan titah adendum itu dapat dilaksanakan, mahkamah memerlukan identiti “saksi kritikal” yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan DS Najib antaranya ;
-Menteri Dalam Negeri,
-Komisioner Jeneral Penjara,
-Peguam Negara,
-Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,
-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
-Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan
-Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Melihat kepada senarai tersebut, terdapat dua menteri kabinet yang sepatutnya, tahu dan maklum seperti apa yang telah dinyatakan oleh YAB Presiden.
Oleh demikian tidak sepatutnya menjadi isu atau keraguan bagi mereka untuk memperakuinya seperti diperlukan.
Melainkan ada niat yang lain.
Saya mohon untuk pihak yang bertanggungjawab untuk menjawab kepada persoalan ini
Dr Akmal Saleh
Perintah tahanan rumah: Saksi kritikal Najib didedah, media dilarang buat liputan dalam mahkamah
MEDIA tidak dibenarkan membuat liputan kes Datuk Seri Najib Razak yang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 supaya bekas perdana menteri itu, menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh, supaya prosiding kes itu dijalankan secara dalam kamar memandangkan terdapat isu sensitif.
Semua dokumen sudah difailkan. Secara dalam kamar bermaksud ia boleh dibuat secara fizikal di mahkamah, tetapi diisytiharkan dalam kamar.
“Saya juga diberitahu dan dimaklumkan kepada rakan saya (Peguam Kanan Persekutuan – SFC) Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly) yang juga menerima idea itu, memandangkan bahan-bahan tertentu yang didedahkan dalam afidavit sebelum ini yang sebenarnya sensitif,” kata peguam itu.
Hakim Amarjeet kemudian membenarkan prosiding dijalankan secara fizikal diisytihar dalam kamar yang hanya boleh dihadiri peguam mewakili Najib dan pihak SFC mewakili responden.
“Semua pihak lain tidak dibenarkan mengikuti prosiding ini termasuk pihak media,” kata hakim itu.
Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi, di sini pada 1 April, menerusi Tetuan Shafee & Co.
Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. —Bernama- 17/4/2024