Ini bukan drama…

[GAMBAR ATAS – Datuk Sri Zahid Hamidi sedang tandatangan afidavit sokong dakwaan Datuk Sri Najib Razak wujudnya titah tambahan bekas YDP Agong pasal jalani tahanan di rumah…sambil diperhatikan peguam Tan Sri Shafee Abdullah]
Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Pada Khamis sehari selepas tersebarnya afidavit Zahid menyokong dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak wujudnya titah tambahan agar bekas Perdana Menteri menjalani tahanan di rumah untuk baki tempoh hukukan penjara selama enam tahun…Megat Zulkarnain tampil dengan satu catatan di Umno Online.
Ia untuk gambarkan pelbagai usaha dibuat Zahid untuk membantu Najib yang sedang ditahan di penjara Kajang disebalik dakwaan dan cubaan merekayasa kononnya Timbalan Perdana Menteri itu tak berbuat apa.
Kata Megat Zulkarnain sokongan pada dakwaan Najib mengenai wujudnya titah bekas YDP Agong diberikan Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu adalah kemuncak usaha itu.
“Ini bukan drama. Ini juga bukan cerpen yang boleh direka mengikut selera penulisnya. Sebaliknya ia menyangkut soal perundangan negara,”katanya.
BERIKUT IALAH CATATAN PENUH MEGAT ZULKARNAIN:
Tulus dan sejati itulah yang mampu saya ungkapkan pada petang terakhir Ramadhan, 9 April 2024 apabila menyaksikan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menurunkan tandatangannya di atas afidavit untuk menyokong petisyen Dato’ Sri Najib Razak berhubung dengan titah adendum YDP Agong Ke 16 mengenai tahanan rumah. Malah hari itu juga Dato’ Seri Zahid baru kembali tidak sampai 24 jam pun daripada menunaikan umrah di Tanah Suci.

Sekilas saja ingatan saya terus melayang tatkala Mahkamah Persekutuan(23 ogos 2022) memerintahkan Dato Sri Najib dihantar ke penjara Kajang masih terngiang nama Zahid yg pertama keluar dr mulut Bossku.
Dato Seri Zahid yang terpempan di galeri awam mahkamah bingkas bangun mendapatkan Bossku. Genggamam erat tangan dua sahabat walaupun terlepas apabila Bossku diiringi utk ke penjara kajang namun tali persahabatan kedua mereka tidak putus.
Sejak dari itu Dato Seri Zahid tidak pernah berhenti melakukan usaha demi sahabatnya yg dipenjara.
Walaupun ada yg cuba merekayasa kononnya Dato Seri Zahid tak berbuat apa. Walaupun ada yg cuba mengangguk di air keroh kononnya mereka menjadi pembela Bossku, hakikatnya jasad yg berada di sebalik tirai besi itu tahu sahabatnya tidak pernah kenal erti jemu dalam mencari usaha mendapatkan pembelaan buat dirinya.
Mengenali Dato Seri Zahid sedekah yg dihulur pun tak pernah nak dijaja apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya. Walau ada yg bertanya apa Zahid buat utk membela bossku?
Cukup utk saya menyebut sebagai orang yg sering menjadi perantara & sebagai seorang yg amat rapat dgn Dato Sri Najib serta keluarganya, tidak ada satu ruang perundangan mahupun rundingan yg dilepaskan oleh Dato Seri Zahid utk membela nasib Bossku.
Kemuncaknya agenda pengampunan bossku diangkat ke Lembaga Pengampunan. Apakah pengampunan ini tiba tiba dibawa dalam agenda tanpa sebarang usaha rundingan atau langkah langkah politik yg dibuat?
Sudah tentu usaha usaha ini bukan bertujuan utk dijaja atau dijadikan drama. Kerana bagi Dato Seri Zahid setiap langkah yg diambil adalah atas keikhlasan dan kesetiaan.
Takkan setiap usaha beliau perlu dihebahkan. Bayangkan apabila beliau secara terbuka memaklumkan pernah mengadakan pertemuan dengan Bossku di penjara semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023, semua serangan dan cercaan dilemparkan kepada beliau.
Pada ketika itu kumpulan yang satu ketika pernah berada di Putrajaya memegang tampuk kuasa tidak berbunyi sepatah pun. Namun mereka yang berkuasa semasa bossku dipenjara kini menjaja cerita kononnya Dato Seri Zahid tidak berbuat apa.
Ironinya, mereka ini tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang menyaksikan dalam beberapa siri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Dato Seri Zahid memaklumkan usaha-usaha pembelaan buat Dato’ Sri Najib tidak pernah bernoktah.
Dengan menandatangani affidavit menyokong petisyen Dato’ Sri Najib, saya kira inilah kemuncak usaha Dato’ Seri Zahid demi sahabatnya.
Mungkin ada suara sumbang yang mengatakan jika telah mengetahui wujudnya titah addendum pada 30 Januari lalu kenapa Dato’ Seri Zahid berdiam diri? Walaupun ada yang bangkit di Parlimen meminta penjelasan benarkah wujudnya titah adendum, ia bukan bahan politik untuk meraih populariti.
Ini bukan drama. Ini juga bukan cerpen yang boleh direka mengikut selera penulisnya. Sebaliknya ia menyangkut soal perundangan negara.
Apabila sebagai orang yang mempunyai hak, Dato’ Sri Najib memfailkan petisyen, tanpa ragu dan dalam keadaan sedar risiko yang mungkin ada di hadapannya, Dato’ Sri Zahid tampil mengikut lunas perudangan memfailkan affidavit kerana bagi beliau usahanya kini sampai ke kemuncak melalui proses perundangan untuk membela sahabatnya..
Tumpah air mata saya tatkala mengambil gambar ini pada petang terakhir Ramadhan kerana di bulan penuh keberkatan, Dato’ Seri Zahid menzahirkan sokongan buat sahabatnya Dato’ Sri Najib dengan menandatangani affidavit yang bukan sahaja pembuktian usaha beliau membantu Dato’ Sri Najib tetapi sebenarnya tindakan MEMULIAKAN serta MENJUNJUNG KASIH ATAS titah addendum YDP Agong Ke-16.
Kepada Allah SWT saya berdoa & berserah agar memberikan yg terbaik buat mereka.. Aamiin – 18/4/2024