Ketua Pemuda PKR tegur Ketua Pemuda Umno…

“Ini bukan soal presiden parti atau kerajaan…Ini soal sama ada kerajaan mahu menjunjung titah atau sebaliknya?
Rakyat mahukan penjelasan,bukan alasan.”
Itu kata kata secara ringkas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh di facebooknya pada Jumaat.
Ia adalah sebagai reaksi pada komentar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung afidavit difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada 9 April mengesahkan wujudnya titah tambahan bekas YDP Agong agar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Anwar yang ditemui wartawan selepas solat Jumaat di Kajang menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa titah YDP Agong semasa mesyuarat lembaga adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.
“Itu (Zahid menyerahkan afidavit) beliau lakukan sebagai Presiden Umno, dan Peguam Negara tentunya bagi pihak Lembaga Pengampunan.
“Pendirian kita bahawa semua keputusan yang melibatkan raja-raja Melayu tidak boleh dicabar. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah prinsip (kerajaan), bukan sekarang, tapi sejak merdeka,” kata Anwar.
Kenyataan Akmal yang dilihat seolah mempersoalkan Perdana Menteri cakap begitu membuatkan Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli kurang senang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan menegur Akmal menerusi facebook AMK pada Sabtu agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saudara Akmal Saleh mungkin boleh bertenang dan pandang kiri kanan sikit dalam mengeluarkan kenyataan sama ada peribadi mahupun rasmi.
“Yang disinggung oleh saudara itu presiden kami, Perdana Menteri kita semua. Mungkin saudara bukan “walanon” tetapi saudara tetap salah seorang Ketua Pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini,” kata Adam Adli.
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH ADAM ADLI
Saudara Akmal Saleh mungkin boleh bertenang dan pandang kiri kanan sikit dalam mengeluarkan kenyataan samada peribadi mahupun rasmi.
Yang disinggung oleh Saudara itu Presiden kami, Perdana Menteri kita semua. Mungkin Saudara bukan “walanon” tetapi Saudara tetap salah seorang Ketua Pemuda dalam gabungan parti pemerintah hari ini.
Sebagaimana kami sepakat tonjolkan sikap hormat kepada Presiden Saudara, dengan sentiasa berhati-hati memilih perkataan dan menyatakan pandangan kalau pun dalam isu yang kadang amat fundamental dan mengesankan; apa sangat harganya untuk Saudara ambil sikap yang sama terhadap Presiden kami, pimpinan utama kita, Perdana Menteri sendiri?
Sebagai Ketua Pemuda salah sebuah parti pemerintah, dengan Saudara sendiri adalah seorang wakil rakyat dan pimpinan utama pentadbiran negeri, Saudara ada akses luas dan penuh kepada pimpinan sendiri dan pimpinan parti rakan, termasuk Perdana Menteri kita. Apa pun perkara yang Saudara ingin kemukakan mustahil tidak didengari, mustahil tidak dibalas.
Mungkin Saudara ada semangat tinggi untuk membela Dato’ Seri Najib; itu ikrar Saudara yang kita tidak pernah larang kalau pun ada berbeza pandangan – cuma percayalah, menimbulkan suasana yang cenderung memulakan pergeseran sebegini tidak membantu pun dalam mencapai apa yang terbaik buat semua.
Selamat Hari Raya,
Maaf Zahir Batin Saudara. – 20/4/2024