FOKUS

‘Lesen kasino tak betul, tak betul…itu tipu’…kata PM

Projek gergasi bernilai RM480 billion Forest City di Iskandar Puteri Johor kini ibarat ‘bandar hantu’ apabila berdepan kemungkinan menjadi gajah putih kerana berdepan dengan pelbagai masalah.

Berikutan ini pelbagai spekulasi timbul mengenai usaha untuk selamatkan projek berkenaan yang kini sepi dan sangat kurang penghuni berbanding unjuran asal untuk menempatkan hampir 1 juta orang.

Terbaru dan agak mengejutkan bila media antarabangsa Bloomberg mendakwa kerajaan sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain, turut hadir pada mesyuarat itu, kata laporan tersebut.

Sultan Ibrahim adalah antara pemegang saham projek Forest City.

Menurut laporan itu, perbincangan mengenai projek kasino berkenaan masih dalam peringkat awal.

Namun Perdana Menteri yang ditemui wartawan majlis rumah terbuka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, Khamis menafikan laporan Bloomberg.

Anwar juga berkata laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

“Lesen kasino tak betul, tak betul…itu tipu,” katanya ringkas.

Forest City pada mulanya dirancang sebagai projek pembangunan kediaman bersepadu. Pembinaan dimulakan pada 2006, melibatkan konsortium pemaju hartanah China.

Pemajunya, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, adalah usaha sama antara Country Garden Group dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, sebuah syarikat yang disokong kerajaan Malaysia.

Country Garden, sebuah syarikat di papan utama Bursa Saham Hong Kong, dan disenaraikan sebagai antara syarikat Fortune Global 500 dan adalah antara satu daripada tiga syarikat pemaju teratas China.

Visi besar projek itu adalah untuk mewujudkan kawasan perbandaran mewah untuk rakyat yang kaya daripada China.

Sebelum ini ramalan adalah bahawa kawasan itu akan menarik pelaburan dan kekayaan dari China dan mewujudkan sebuah bandar moden baharu, yang didirikan di empat pulau buatan manusia di Selat Johor bersebelahan dengan Singapura.

Pulau pertama dirancang sebagai zon perindustrian berteknologi tinggi, diikuti oleh pulau kedua, sebagai daerah pusat perniagaan dan zon pelancongan. Pulau ketiga sepatutnya menjadi daerah kewangan dan ekonomi, manakala pulau keempat adalah sebagai persidangan dan forum. Keseluruhan pembangunan itu sepatutnya siap menjelang 2035.

Bagaimanapun, projek itu menghadapi masalah pada 2018 apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan bahawa warga asing tidak akan diberikan visa untuk tinggal di Forest City.

Selanjutnya, kawalan mata wang yang diperkenalkan oleh Presiden Xi Jinping pada 2019 secara drastik menyekat bakal pelanggan dan serangan pandemik Covid-19 memberi tamparan hebat kepada projek berkenaan.

Hari ini, projek Forest City, yang digelar “bandar dalam laut”, adalah ibarat bandar hantu.

Projek kasino, sekiranya menjadi kenyataan, akan menjadi lesen kasino kedua negara yang diberikan oleh kerajaan, dan memberi rangsangan yang sangat diperlukan untuk “bandar hantu” itu, kata laporan Bloomberg.

Laporan itu menambah bahawa Country Garden juga berminat untuk mewujudkan kasino di kawasan pembangunan itu.- 25/4/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button