FOKUS

KEMASKINI…di mahkamah Sepang Khamis…Hafizul mengaku tak bersalah cuba bunuh isteri

Setelah berdepan tujuh tuduhan di mahkamah Kota Bharu semalam,Rabu…hari ini Khamis Hafizul Harawi yang melepaskan tembakan di balai berlepas KLIA 14 April lalu diheret ke ke Mahkamah Sesyen Sepang pula.

Di mahkamah ini dia berdepan dua tuduhan.

Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan kedua itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Lelaki berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azrol Abdullah.

Pada jam 8.15 pagi pengurus syarikat pelancongan itu yang bergari dan dikawal ketat oleh polis dilihat masuk kawasan mahkamah.

Hafizul memakai baju hitam dan pelitup muka kelihatan tenang ketika dirakam foto dan video oleh sekumpulan pengamal media yang berkumpul sejak jam 7.45 pagi.

Di mahkamah Kota Bharu semalam dia mengaku tidak bersalah atas semua tujuh tuduhan.

Dalam kejadian pada 14 April itu dia melepaskan dua das tembakan.

Satu darinya kena pada pengawal peribadi isterinya mengakibatkan cedera parah.

Dia kemudian melarikan diri dan ditangkap di Kota Bharu.- 25/4/2024

Kes tembak di KLIA….Hafizul mengaku tak bersalah atas 7 tuduhan

Hafizul Hawari yang berdepan tujuh dakwaan termasuk memiliki pistol di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dalam kes tembak di balai ketibaan KLIA pada 14 April lalu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan dan memohon dibicarakan.

Lelaki berusia 38 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Kedua, dia didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastis cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama. Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu, jam 2 petang, pada 15 April 2024.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua pertuduhan dan memohon tertuduh menjalani perintah tahanan reman di penjara Sungai Buloh.

Namun tertuduh merayu mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin dan mohon untuk menghubungi ahli keluarga bagi lantikan peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan tertuduh juga mempunyai kes lain di Selangor,namun bagi tiga pertuduhan iaitu memiliki kad pengenalan individu lain boleh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pertuduhan nombor pendaftaran palsu juga RM10,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 14 April itu Hafizul disyaki melepaskan dua das tembakan di KLIA yang terkena kepada seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan peribadi isterinya.

Dia kemudian melarikan diri kira-kira 36 jam sebelum berjaya dikesan dan ditangkap di Kota Bharu.

Hafizul dan isterinya Farah Cie dalam proses bercerai.- 24/4/2024

“Assalamualaikum, saya masih menyayangi isteri saya Farah Md Isa”…kata Hafizul

Hafizul Harawi, suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan KLIA pada 14 April lalu curi perhatian media ketika dalam perjalanan masuk ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi Isnin untuk proses sambung tempoh reman.

Lelaki berusia 38 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.35 pagi dengan memakai baju lokap dan dikawal ketat oleh polis.

“Assalamualaikum, Saya masih menyayangi isteri saya, Farah Md Isa, terima kasih,” katanya berulang kali.

Dia juga sempat memberi salam dan berterima kasih kepada pihak media.

Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri membenarkan reman terhadap Hafizul disambung selama lima hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ia selepas reman selama tujuh hari yang dibenarkan mahkamah pada 16 April lalu berakhir hari ini dan pihak polis membuat permohonan sambung reman bagi meneruskan siasatan terhadap suspek.

Pada 15 April lalu, suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan pada jam 3 petang.

Difahamkan berlaku pergelutan antara suspek dengan polis sebelum dia berjaya ditahan.

Turut dirampas pistol yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Dalam kejadian di KLIA seorang pengawal peribadi parah selepas terkena tembakan dilepaskan suspek berkenaan.

Berdasarkan siasatan, suspek sebenarnya ingin menembak isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Farah Cie yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di KLIA, sebelum peluru dilepaskannya tersasar dan terkena pengawal peribadi terbabit.

Suspek melepaskan tembakan sebanyak dua kali sebelum satu daripada peluru itu terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Difahamkan Hafizul dan isterinya adalah dalam proses cerai.- 22 April, 2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button