Dua calon ‘kacau daun’ di PRK Kuala Kubu Bharu…

Hasrat pelbagai kalangan untuk lihat Calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional berentap ‘straight fight’ yakni satu lawan satu di pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu berkecai.
Ini gara gara kemunculan dua calon lain ‘kacau daun’ turut sama masuk gelanggang.
Empat calon yang sah berentap ialah Pang Sock Tao dari PH, Khairul Azhari Saut PN, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Terdahulu Khairul Azhari tiba di dewan pencalonan jam 8.35 pagi diriingi pemimpin utama antaranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu; Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri.
Sementara Sock Tao tiba jam 8:43 pagi, diiringi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu pelbagai aksi dapat dilihat dipamerkan kedua-dua penyokong.
Misalnya ada sekumpulan orang PN membawa ubi kayu sebagai sindiran kepada isu cadangan memakan bahan tersebut dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, baru-baru ini.
Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata misi PN kali ini ialah “menyapu bersih” kerusi yang ada di bawah kawasan parlimen Hulu Selangor.
“Ahli-ahli PAS di Kuala Kubu Bharu akan sokong penuh calon PN di PRK ini.
“Kami telah menang di Parlimen Hulu Selangor, menang DUN Batang Kali dan Ulu Bernam.
“PAS harap PN dapat menawah Kuala Kubu Bharu untuk menjadikan kami menguasai Hulu selangor 4-0,” katanya.
Manakala perarakan penyokong PH pula berjalan tanpa sebarang aksi provokasi kecuali dengan laungan “Lawan lawan”, “Kita Selangor”, dan “Kekal Kuala Kubu” .- 27/4/2024