FOKUS

Apa cerita kes anak MB Perlis?

Kalau rajin pasang telinga macam macam spekulasi muncul di Perlis selepas isu anak Menteri Besar Perlis dan beberapa individu lain ditahan pada 24 April lalu dan dibebaskan kemudian berkaitan kes tuntutan palsu RM600,000.

Apa selepas itu Menteri Besar Mohd Shukri Ramli sendiri dipanggil beri keterangan di ibupejabat SPRM di Putrajaya pada 30 April.

Namun senarionya agak lain sikit bila kalangan wartawan yang menunggu sejak jam 10 pagi melihat Ramli berjalan keluar dari bangunan SPRM itu lewat petang dengan wajah tersenyum.

Tunggu punya tunggu…sehingga hari ini belum ada khabar berita lanjutan yang sahih mengenai dua hal berkenaan.

Gara gara itu antara spekulasi yang hangat berlegar di Perlis kononnya akan berlaku pertukaran jawatan Menteri Besar.

Orang Bersatu dikatakan mahu pemimpin dari parti itu pula menerajui Perlis jika berlaku pertukaran jawatan nombor satu.

Juga berlegar orang itu dan orang ini bakal kena cekup oleh SPRM.

Keadaan jadi agak hangat bila laporan sebuah portal berita dakwa kononnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis akan ditahan SPRM dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Identiti kelima-lima Adun yang mewakili PAS dan Bersatu didakwa disebut sendiri oleh anak Menteri Besar Perlis ketika siasatan dilakukan oleh SPRM.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman telah menafikan laporan portal itu.

“Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” katanya.

Azmi turut menafikan sekumpulan anggota SPRM Putrajaya berada di Perlis sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Beliau juga menjelaskan hasil siasatan berkaitan kes dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan anak kepada Menteri Besar Perlis serta beberapa individu lain hanya dijangka diperolehi minggu hadapan.

Menurut beliau kertas siasatan kes tersebut sedang dilengkapkan.

Katanya Azmi, hasil siasatan itu mungkin dilengkapkan selewat-lewatnya Rabu depan.

“SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya pada Rabu depan,” katanya.- 15/5/2024

KEMASKINI : MB Perlis keluar ibupejabat SPRM sambil tersenyum…Azam Baki kata beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM

Ini adalah hari yang agak meletihkan serta membingungkan bagi wartawan yang membuat liputan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli ‘disiasat’ sekitar 8 jam di ibupejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa.

Suasana ini timbul gara gara maklumat berlegar yang bertukar dari masa ke semasa mengenainya.

Beliau tiba di ibupejabat SPRM jam 10 pagi.

Asalnya beliau dikatakan dipanggil beri keterangan berkaitan kes salah guna kuasa.

Kemudian timbul pula cerita kata beliau telah ditahan oleh SPRM selepas beri keterangan.

Namun kemudian sekitar jam 12.30 tengahari menerusi laman facebook Menteri Besar Perlis itu tampil kenyataan ringkas kata ‘MB TIDAK DIREMAN. AKAN DIBENARKAN PULANG SELEPAS SELESAI MEMBERI KETERANGAN.’

Namun kalangan wartawan tunggu punya tunggu Mohd Shukri tidak muncul keluar dari bangunan itu untuk pulang seperti disebut.

Selepas itu muncul maklumat kata beliau masih dalam bangunan itu dan masih dalam proses beri keterangan.

Sekitar jam 6 petang beliau masih juga belum dilihat keluar dari bangunan ibu pejabat SPRM.

Kemudian pada jam 7.20 petang muncul posting di laman facebooknya dengan ayat “Alhamdulillah. Selesai beri keterangan kepada pihak SPRM. Saya nak ucap berbanyak terima kasih kepada pegawai SPRM yang bertugas kerana menjalankan tugas dengan sangat profesional.Kepada Allah kita berserah.”

Pada posting itu tertera gambar Mohd Shukri dengan wajah tersenyum melangkah keluar dari bangunan SPRM.

Ditanya oleh wartawan ketika ditemui diluar ibupejabat SPRM mengenai keterangan yang diberi beliau hanya jawab “Macam-macam lah.”

Menjawab soalan bahagian mana beliau disiasat, Menteri Besar Perlis itu berkata: “Saya pun tak pasti”.

Namun Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang dihubungi wartawan mengenai hal itu mengesahkan Menteri Besar Perlis itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas lebih lapan jam diambil keterangan.

“Bahagian Komunikasi Korporat (SPRM) akan keluarkan kenyataan rasmi nanti,” katanya.

Difahamkan, Mohd Shukri pada mulanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000 membabitkan anak lelakinya.

Bagaimanapun, sejurus selesai proses berkenaan, beliau sekali lagi dirakam percakapannya, kali ini membabitkan kes salah guna kuasa.

Pada Rabu lalu SPRM telah tahan reman anak kepada Menteri Besar Perlis itu bersama lima individu bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Pada Jumaat mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam pada itu pada Ahad lalu sumber SPRM beritahu agensi itu sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air, kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan. – 30/4/2024

TERKINI…SPRM benarkan MB Perlis pulang lepas beri keterangan….

Ketika pelbagai spekulasi hangat berlegar selepas Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dikatakan ditahan SPRM sejurus beri keterangan mengenai kes salahguna kuasa di ibupejabat agensi itu di Putrajaya dari pagi hingga tengahari Selasa…pada awal petang facebook beliau muncul dengan kenyataan “MB tidak direman, telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan”.

Mohd Shukri dalam Facebook berkata, beliau akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya.- 30/4/2024

KEMASKINI : MB Perlis ditahan SPRM…

Dua hari selepas sumber SPRM memberitahu agensi itu sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air yang disyaki telah melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya membabitkan beberapa projek pembekalan….Menteri Besar Perlis Mohd Shukri dipanggil beri keterangan di ibupejabat SPRM di Putrajaya pagi Selasa.

Difahamkan beliau mula beri keterangan di situ jam 10 pagi.

Ekoran itu pada sebelah lewat tengahari pecah berita mengatakan beliau ditahan oleh SPRM.

Pada Rabu lalu anak Mohd Shukri dan lima individu lain ditahan SPRM berkaitan kes tuntutan palsu sekitar RM600,000.

Pada Jumaat mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber SPRM yang buka cerita dua hari lalu pemimpin berkenaan juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang mana syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Katanya, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat di bawah kawalannya.

Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan sejak Januari tahun lalu hingga Mac 2024 dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.

Setakat ini, sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati.- 30/4/202


MB Perlis kini di ibupejabat SPRM beri keterangan kes salahguna kuasa…

Sehingga berita ini ditulis jam I tengahari tengahhari Selasa Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli sedang berada di ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk beri keterangan dipercayai kes salahguna kuasa.

Ia dipercayai ada kaitan dengan anaknya yang ditahan reman Rabu lalu kerana kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Anaknya dan empat individu lain telah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dilaporkan mengesahkan Mohd Shukri kini berada di ibu pejabat agensi tidak menolak kemungkinan Menteri Besar itu ditahan.

Bagaimanapun, katanya, ahli politik terbabit dijangka dilepaskan jika SPRM berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan.- BERITA LANJUT AKAN MENYUSUL

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button