FOKUS

Isu tahanan rumah Najib…PM akan beri jawapan ini jika YDP Agong minta nasihatnya

Sejak isu ini berbangkit kebelakangan ini Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim belum pernah beri jawapan yang ‘cukup jelas’ mengenai pandangan beliau sendiri berkaitan polimek tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Isu ini berbangkit kerana adanya titah Adendum oleh Yang Dipertuan Agong ke 16 Al-Sultan Abdullah supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh baki pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Sebelum itu pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Seri Paduka telah memberi Najib separuh pengurangan hukuman kepada enam tahun serta dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Jawapan yang semua orang belum dengar telah diberikan secara terbuka oleh Perdana Menteri ketika wawancara dengan Koresponden Antarabangsa bagi Asia Tenggara Bloomberg TV Haslinda Amin pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa.

Anwar berkata beliau berpandangan Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.

Kata Perdana Menteri beliau akan hanya mengesyorkan demikian jika pandangannya diminta oleh Seri Paduka.

Menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak akan diketepikan, Anwar berkata: “Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, Tuanku, lalui proses itu.”

Menurut Anwar beliau telah memberikan Najib semua kemudahan yang ada di penjara.

Dengan keselesaan itu, bagaimanapun kata Anwar, penjara tetap penjara.

Katanya, sebagai bekas banduan beliau mengetahui berkaitan perkara itu.

Sementara itu, Anwar turut menolak dakwaan bahawa pentadbirannya sedang bergolak, terutamanya mengenai gesaan supaya Najib diberikan tahanan rumah.

Beliau beri contoh kemenangan baru-baru ini dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu sebagai bukti kestabilan kerajaannya.

“Kami menang dengan selesa. Ini bermakna, sekali lagi, jangan pandang rendah kebijaksanaan orang ramai,” katanya.

Pada 1999, Anwar disabitkan atas kesalahan rasuah dan dijatuhi hukuman enam tahun. Selepas itu, beliau berdepan hukuman penjara sembilan tahun lagi selepas disabitkan dengan kesalahan liwat.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada tuduhan liwat pada 2004 tetapi sekali lagi disabitkan pada 2014 dan kemudiannya diberikan pengampunan penuh diraja dan dibebaskan pada 2018.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Najib memfailkan semakan kehakiman berhubung pelaksanaan titah adendum (tambahan) Agong berhubung tahanan rumah.

Anwar mengadakan lawatan kerja ke Qatar bagi menghadiri forum berkenaan sebelum meneruskan lawatan kerja rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz mulai Rabu.- 15/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button