FOKUS

Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah…lebih 13 peratus mulai Disember ini

Penjawat awam di negara ini tersenyum riang pada sambutan Hari Pekerja 2024…apa lagi sekarang masih dalam suasana sambutan hari raya Aidilfitri.

Ini bila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bikin pecah rekod dengan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini…yakni tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja KESUMA Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya,pada Rabu.

Beliau berkata kenaikan lebih 13 peratus itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Serentak dengan itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Menurut beliau pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.

“Saya setuju tidak munasabah.“Sudah 12 tahun (tidak disemak) dan pimpinan silih berganti, belum ada kajian secara serius,”katanya.

“Pada semua rakan termasuk Ketua Setiausaha Negara; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam, saya ucapkan terima kasih serta tahniah kerana bekerja bertungkus-lumus untuk membantu.

“Susah dan letih bagaimanapun, saya lega kerana kita tunaikan amanah ini kepada rakyat termasuk pekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah bersetuju meminda Ordinan Buruh kedua-dua negeri.

Katanya, ia bagi diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung dengan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang. -1/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button