Mahkamah serah balik sementara pasport Muhyiddin…untuk ke Australia

Hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak ke Australia melawat anggota keluarganya yang sakit kanser di sana tercapai.
Pada Rabu…Mahkamah Sesyen,Kuala Lumpur membenarkan pelepasan pasport sementara bekas Perdana Menteri itu mulai hari ini sehingga 28 Mei.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan yang dibuat peguam Muhyiddin, Hisyam Teh Poh Teik selepas timbalan pendakwa raya, Nor Asma Ahmad tidak membantahnya.
“Sebab yang dinyatakan dalam afidavit adalah untuk melawat seorang ahli keluarga di Australia yang sedang sembuh dari kanser usus,” kata Hisyam Teh.
Muhyiddin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat ikat jaminnya dalam kes Jana Wibawa.
Azura turut menetapkan 13 Jun ini bagi mendengar permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan prosiding, sementara menunggu permohonan semakan yang dibuatnya bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, yang dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini.
Pada Mac tahun lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi empat pertuduhan itu, serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM232.5 juta berkaitan program Jana Wibawa.- 8/5/2024