Letih menunggu penamat kisah tujuh wakil rakyat Bersatu…

Ketika bersembang sesama wartawan ada yang mengeluh panjang bila menyentuh bab enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional (PN) dari parti Bersatu yang paling tadah sokong kerajaan.
Malah ada yang anggap kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul pada Isnin bahawa sehingga kini kedudukan mereka (enam Ahli Parlimen) masih kekal sebagai Ahli Parlimen bukan lagi satu bahan berita.
Apapun Johari tidak boleh dipersalahkan cakap begitu….apa lagi yang beliau boleh kata kerana itulah fakta dan hakikat di depan mata buat masa ini.
“Selagi ia tidak melibatkan Parlimen, saya tidak akan terlibat dan ambil pusing sebab itu isu politik, isu pentadbiran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), hinggalah mereka selesai masalah mereka dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat.
“Sekarang ini tidak ada apa-apa berlaku lagi, notis apa pun tak terima, satu surat dan e-mel pun tak ada. Saya anggap tak ada apa-apa berlaku selagi benda itu tidak datang ke meja saya, itu hak mereka,” katanya.
Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Mereka semua umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa keluar parti.
Seorang lagi yang tidak termasuk dibawah bidang kuasa beliau ialah Datuk Rashid Asari,Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Selat Kelang yang umum sokong Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari.
Bercakap kepada wartawan selepas satu majlis di bangunan Parlimen, Johari berkata beliau juga tidak akan campur tangan isu berkaitan parti politik berkenaan.
“Harus diingat apa berlaku di luar Parlimen ini bukan bidang kuasa saya, sama ada satu parti nak ubah, tambah atau tukar perlembagaan parti, itu juga bukan masalah saya. Begitu juga apa terjadi kepada satu keanggotaan bukan masalah saya,” katanya.
Isu mengenai kedudukan semua wakil rakyat berkenaan semakin mencuri perhatian sejak 1 April lalu bila Pendaftar Pertubuhan ROS telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Fakta di depan mata ialah Bersatu sendiri belum ambil ‘langkah rasmi’ untuk gugurkan keahlian tujuh wakil rakyat berkenaan.
Apa yang berlaku kebelakangan ini ialah pimpinan Bersatu dan kalangan Ahli Parlimen berkenaan cuma saling ‘tembak menembak’ menerusi kenyataan politik.
Malah Suhaili dari Labuan secara terbuka dakwa pindaan perlembagaan itu tidak boleh digunapakai keatas mereka.
Katanya ini kerana pindaan itu baru saja wujud sedangkan mereka sudah isytihar sokong Perdana Menteri lama sebelum itu.
Bagi pimpinan Bersatu pula sebaik sahaja pindaan perlembagaan diluluskan oleh ROS jika kalangan Ahli Parlimen berkenaan masih kekal dengan pendirian sokong Perdana Menteri mereka dikira sudah bukan ahli parti dan perlu kosongkan kerusi Parlimen.
Sewaktu kempen pilihanraya kecil kawasan DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei baru ini ,Setiausaha Agung Bersatu Datuk Hamzah Zainuddin kata surat rasmi tindakan keatas tujuh wakil rakyat itu akan dihantar selepas mesyuarat pimpinan tertinggi parti yang akan diadakan selepas pilinanraya berkenaan.
Setakat ini beliau tidak beri sebarang tarikh.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ke Australia beberapa hari untuk melawat anggota keluarganya yang sakit kanser di sana.
Tidak kurang menarik sewaktu kempen pilihanraya kecil itu dua di kalangan wakil rakyat Bersatu yakni Rashid dan Dr Zulkafperi secara terbuka berkempen untuk calon PH-BN.
Sedangkan dari sudut pindaan perlembagaan parti ini sudah dikira tindakan ‘kad merah’ yang mengundang pemecatan serta merta.
Rashid kata keputusan membantu kempen calon Pakatan Harapan,ang Sock Tao dibuat selepas mempertimbangkan tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang menghalangnya berbuat demikian.
“Saya sudah buat semakan ke atas perlembagaan Bersatu. Tiada apa-apa klausa atau peruntukan menyatakan ahli boleh diambil tindakan jika menyertai ceramah di mana-mana.
“Mereka boleh pecat jika saya keluar daripada parti dan menyokong pihak lain tetapi tiada peruntukan yang menghalang saya daripada berceramah di mana-mana, sama ada bersama Perpaduan mahupun Bersatu. Sebab ini saya berani datang.
“Saya juga tidak kisah jika Perikatan Nasional (PN) mahu menjadikan kehadiran saya malam ini, sebagai kempen mereka. Silakan, tiada masalah,” katanya.
Beliau memberitahu Dr Zulkafperi dari Tanjong Karang turut membantu kempen Kerajaan Perpaduan di sekitar Kuala Kubu Bharu.
Keadaan dikatakan sudah menjadi seolah ‘cacamarba’ dimana perundangan berkaitan semacam tidak jelas dan boleh ditafsir macam macam.
Ini semua berlaku ketika pindaan perlembagaan parti sudah dibuat dan ia sudah diluluskan oleh ROS.
Soalnya siapakah yang menjadi penguatkuasa yang menentukan itu boleh dan ini tak boleh.Apakah pihak ROS atau siapa?
Perlu ingat bahawa perdebatan dan ding dong mengenai isu Ahli Parlimen Bersatu berpaling tadah bukan bermula 1 April bila ROS luluskan pindaan perlembagaan Bersatu.
Sebaliknya ia bermula sejak 12 Oktober 2023 bila Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain isytihar sokong Perdana Menteri dan kemudian ia diikuti Ahli Parlimen Labuan,Suhaili , Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Kemudian Ahli ParlimenBukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz dan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi.
Rashid dari DUN Selat Kelang menyusul kemudian.
Ramai pemerhati politik sependapat bahawa penamat yang paling afdal dalam isu yang sudah lama berlarutan ini menerusi jalan pilihanraya kecil di tujuh kawasan berkenaan.
Ini akan membolehkan pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar,Labuan,Gua Musang,Jeli,Bukit Gantang dan Tanjong Karang serta DUN Selat Kelang buat penentuan menerusi jalan demokrasi.
Bagi mereka lagi lama isu ini berlarutan ia akan mencetuskan ‘awam hitam’ yakni persepsi yang serong dikalangan rakyat terhadap sistem perundangan negara dalam konteks ini.- 13/5/2024
Lagi…ding dong kisah tujuh wakil rakyat BERSATU yang paling tadah
Kemungkinan itu sudah diramalkan…namun BERSATU tidak kisah jika tujuh wakil rakyatnya yang bakal dipecat kerana berpaling tadah sokong kerajaan hendak bawa kes mereka ke mahkamah.
“Bila terhenti, mereka mahu bawa ke mahkamah itu biasalah,” itu kata Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya kemungkinan ada antara tujuh rakyat berkenaan yakni Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman,Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi ,Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan ADUN Selat Kelang ,Selangor Datuk Rashid Asari akan bawa kes ke mahkamah.
Enam Ahli Parlimen berkenaan suarakan sokongan pada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala ADUN pula pada Menteri Besar Amiruddin Shari.
Jika dibawa ke mahkamah ada kemungkinan keputusan mengenai isu kedudukan wakil rakyat berkenaan akan memakan masa.
Sebaliknya BERSATU hendak bertindak segera serta mahu pilihanraya kecil diadakan segera di tujuh kawasan berkenaan.
Pada 1 April lalu Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU membolehkan parti itu mengosongkan kerusi wakil rakyat yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Namun ada kalangan wakil rakyat yang paling tadah pertikai penguatkkuasaan pindaan berkenaan.
Mereka mendakwa bertindak isytihar sokong kerajaan sebelum pindaan perlembagaan BERSATU diluluskan maka ia tidak berkuatkuasa keatas mereka.
Bercakap kepada wartawan di dekat Batang Kali semasa kempen PRK Kuala Kubu Bharu Rabu malam,Hamzah memberitahu parti itu sudah set untuk bertindak keatas mereka sejurus selesai pilihanraya kecil ini.
Hamzah mengingatkan semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam BERSATU terhenti kelak.
“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya.
Menurutnya surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN akan dihantar minggu hadapan.
Katanya surat berkenaan akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus pilihanraya kecil Kuala Kubu Bharu.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan BERSATU antara lain jelas dengan keputusan untuk menghentikan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menjadi antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Perdana Menteri.
“Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana ada perkara tertentu, memang sudah ada keputusan kita yang hanya mahu menunggu pengesahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU).
“Dua lagi wakil rakyat BERSATU (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) (di Kuala Kubu Baharu).
“Kalau mengikut perlembagaan kita (BERSATU) secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) ini terhenti menjadi ahli BERSATU, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (di mesyuarat MPT) nanti,” katanya.
Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian terhadap wakil rakyat berkenaan akan kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan.
Beliau berkata nasib mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas mesyuarat MPT parti itu nanti.- 9/5/2024