Serangan balai polis Ulu Tiram…tindakan sendirian bukan oleh kumpulan terancang

Hasil dari keterangan polis dapat dari 46 individu yang dipercayai ada kaitan dengan serangan di balai polis Ulu Tiram pagi Jumaat…kejadian itu tidak melibatkan kumpulan yang terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kata lelaki yang melakukan serangan itu bertindak sendirian.
Katanya siasatan awal polis mendapati suspek serangan bertindak sendirian didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.
Menurut beliau kesimpulan awal itu dibuat hasil temubual dengan 46 orang yang dipercayai punyai kaitan dengan kes.
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, Sabtu,beliau kata ,”siasatan awal polis mendapati suspek bertindak sendirian didorong motivasi kefahamannya malah dia dan keluarga juga tidak bercampur masyarakat.
“Oleh itu, serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang…itu tidak ada.
“Insiden semalam bukan mengancam keselamatan awam begitu sekali . Jadinya, kita gesa orang ramai, pihak media henti sebar spekulasi berkaitan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya.
Lelaki berkenaan berusia 21 tahun mati ditembak polis dalam kejadian yang bermula 2.30 pagi.
Turut maut ialah dua anggota polis manakala seorang lagi cedera.
Susulan kejadian itu, polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun..
Bapa suspek juga adalah anggota JI di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan kumpulan berkenaan.
Tinjauan ke kawasan rumah keluarga suspek terbabit di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai polis itu, mendapati kediaman suspek itu berada di dalam kawasan berpagar.
Dianggarkan, terdapat kira-kira 10 rumah lain berada di dalam penempatan itu yang juga terpapar papan tanda larangan masuk, selain terletak tidak jauh dari Madrasah Luqmanul Hakim yang pernah menjadi tempat berkumpulnya pemimpin-pemimpin kumpulan Jemaah Islamiah (JI) suatu ketika dahulu.
Suspek yang difahamkan mempunyai empat beradik tidak bersekolah dan dididik oleh bapanya.
Penempatan kediaman suspek itu dipercayai telah wujud lebih 20 tahun lalu dan didiami beberapa keluarga lain, selain terletak agak terpencil dari rumah penduduk yang lain.
Penduduk yang mendiami penempatan itu dikatakan turut mengasingkan diri dan tidak bercampur dengan penduduk sekitar.
Sementara itu pagi Sabtu tujuh seorang warga tempatan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes serangan itu.
Mereka yang direman itu melibatkan lima ahli keluarga suspek termasuk bapanya selain dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dekat Johor Bharu.- 18/5/2024