TAHUKAH ANDA

‘Teruskan menjilat’…kata Dr Akmal

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh tidak berganjak dari pendirian beliau menghentam kolumis portal Malaysiakini Andrew Sia yang melabelkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai “akademi apartheid” setelah ditegur oleh seorang profesor Melayu.

Menerusi facebooknya beliau berkata,” Semua orang yang baca tentang artikel tersebut boleh faham apa yang dinyatakan oleh Andrew Sia bersifat jahat seolah olah ingin menidakkan sejarah penubuhan UiTM itu sendiri apabila menuduh ia adalah universiti akademi apartheid.

“Jangan kita menjadi si kitol yang menjual bangsa demi kepentingan diri.

“Ini soal hak bumiputera yang telah termaktub di dalam perlembagaan,kami tidak ambil sedikit pun hak kaum lain,kami hanya mempertahankan hak kami.

“Kalau kamu sendiri pun tidak boleh faham sejarah penubuhan UiTM,maaf kami tidak perlukan kamu dalam hal ni prof…Teruskan menjilat’

Menerusi youtube,Tajuddin Rasadi, seorang profesor dalam bidang seni bina Islam di Universiti UCSI, di Kuala Lumpur telah membidas Dr Akmal mengenai maksud istilah “apartheid” selepas Ketua Pemuda Umno itu “menyerang” kolumnis Malaysiakini itu yang melabel UiTM sebagai “akademi apartheid”.

Memetik Kamus Cambridge, Tajuddin Rasdi menegaskan bahawa walaupun perkataan “apartheid” berasal daripada perkataan Afrikaans untuk dasar perkauman yang diinstitusikan di Afrika Selatan ia juga digunakan dalam bahasa Inggeris untuk merujuk kepada dasar diskriminasi secara lebih umum.

Beliau juga memberikan contoh-contoh perkataan itu yang digunakan dalam laporan berita di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk bercakap tentang diskriminasi yang tidak ada kaitan dengan dasar yang diamalkan di Afrika Selatan dahulu.

“Kita kena lihat dulu apa konteks penggunaan perkataan apartheid itu dan janganlah kita panjang-panjangkan kepada sesuatu yang di luar konteks yang dia digunakan.

“Kalau seseorang itu menggunakan sesuatu perkataan, ia ada satu maksud yang khusus.

“Tetapi kalau kita menambah-nambahkan, mengandai-andaikan perkataan itu, maka ia boleh menjadi sesuatu yang besar,” kata Tajuddin.

Pada Rabu lalu, Andrew Sia menulis mengenai isu parallel pathway dan keengganan UiTM membuka pintunya buat sementara waktu kepada bukan bumiputera untuk menangani kekurangan pakar bedah kardiotoraks.

Dr Akmal mendakwa Sia telah menghina legasi institusi pendidikan bumiputera dan menyakiti orang Melayu.

“Adakah UiTM simbol penindasan kepada kaum lain? Sudah tentu tidak.

“Kerajaan Malaysia yang majoritinya orang Melayu ini tetap sahaja membenarkan pendidikan ‘tanah asal’ seperti di SJK(C) dan di SJK(T) – yang bukan sahaja dibenarkan tapi disokong melalui peruntukkan kerajaan.

“Siapa yang sejak awal membelah perpaduan melalui pendidikan ini?

“Itupun kita terima dengan berlapang dada sebab kita tahu kepentingan membela hak budaya. Belum lagi dikira sekolah-sekolah menengah Cina persendirian yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan,” kata Dr Akmal dalam satu kenyataan.

Beliau juga menuntut wartawan veteran yang pernah berkhidmat dengan The Star itu membuat permohonan maaf secara terbuka atas tulisannya, manakala Malaysiakini dituntut menurunkan artikel itu dari laman sesawangnya.

Dr Akmal juga berkata, Pemuda Umno sedang menggerakkan anggotanya di seluruh negara untuk membuat laporan polis.

Dalam video yang disertakan, Dr Akmal juga berkata jika Malaysia mengamalkan apartheid, Andrew Sia dan keluarganya tidak akan menerima sebarang pendidikan.

Bagaimanapun, Tajuddin membantah bahawa penggunaan perkataan “apartheid” oleh Andrew Sia merujuk secara khusus kepada UiTM sahaja dan bukan isu lain di luar kampus. Justeru, video Akmal telah melampaui apa yang ditulis dalam artikel Andrew Sia.

“Bagi saya itu adalah sesuatu yang telah terkeluar daripada apa yang ditulis oleh artikel tersebut.

“Dan itu sangat jelas. UiTM memang mendiskriminasi dalam erti kata bukan bumiputera tidak boleh mendapat faedah pendidikan di UiTM,” tambahnya.- 24/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button