FOKUS

Jenuh Azam Baki ‘bersilat’ jelaskan antara fakta dan persepsi isu kontrak syarikat suami Menteri Belia dan Sukan

Dalam keadaan biasa pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di negeri itu mungkin berlalu
sebagai salah satu urusan biasa.

Namun ia sudah meletup menjadi satu isu besar.

Ini gara gara kontrak itu dianugerahkan kepada dua syarikat.

Salah satunya ialah Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Ramachandran Muniandy yakni suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mahu tidak mahu dari sudut politik ada yang pandang serong kerana Hannah Yeoh selain berjawatan menteri ialah seorang pemimpin besar DAP.

Kerajaan negeri Selangor pula ialah kerajaan Pakatan Harapan yang dipelopori oleh DAP dan PKR.

Maka timbulah jerit pekik sana sini mahu SPRM bertindak kerana dakwa pemberian kontrak itu terdapat konflik kepentingan.

Juga dipersoalkan kontrak berkenaan tidak diberi menerusi tender terbuka yakni melanggar janji Pakatan Harapan semasa kempen pilihanraya.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sudah tentu menjadi fokus kerana agensi itu ada kuasa untuk siasat dakwaan seumpama ini dan membuat penentuan.

Pada Isnin selepas beliau memaklumkan bahawa SPRM melihat pemberian kontrak itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hannah Yeoh, beberapa ahli politik membidasnya dan mendakwa mungkin ada unsur salah guna kuasa yang agensi antirasuah itu terlepas pandang.

Katanya Asia Mobility tidak menerima projek berkenaan daripada kementerian Hannah Yeoh, tetapi kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik suami Hannah Yeoh itu.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas pihak yang dibangkitkan, ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia ada kaitan antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Pada Selasa Azam Baki berdepan persoalan sama dalam sesi Executive Talk bersama Editor media dalam talian.

Jenuh juga beliau terpaksa memberi penjelasan kedudukan sebenar hal ini.

Malah beliau meminta semua pihak agar tahu membezakan antara fakta dan persepsi.

Mengulas kritikan beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataannya yang tidak melihat sebarang kesalahan undang-undang berhubung pemberian kontrak itu,beliau kata terpulang kepada mereka memberi ulasan kerana Malaysia memberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan pandangan.

“Kalau ahli politik itu kata ada kesalahan moral, itu terpulang kepada dia. Saya bukan ahli politik ataupun ahli motivasi untuk bercakap soal moral. Mungkin ada yang tidak suka dengan kenyataan saya, mungkin ada yang sokong.

“Jadi apa faedah yang saya dapat dalam hal ini sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Saya bukan dapat kenaikan gaji pun daripada itu. Cuba fikir, projek itu untuk orang ramai di Selangor. Jadi kalau nak tunggu SPRM untuk siasat, untuk tempoh berapa lama?.

“Kalau lepas sebulan siasat, saya kata tiada kes, orang ramai mesti akan persoal… sebulan? Cepatnya (siasat). Jadi ahli politik ini jangkakan apa? Setahun untuk siasat? Apa jadi nanti dengan projek itu? Kerana itu saya perlu beri penekanan. Kalau kes macam ini, saya kena berterus-terang kami tidak melihat ada kes dalam perkara ini,” katanya.

Menurutnya hasil siasatan interim itu mendapati tiada sebarang kesalahan wujud dalam pemberian kontrak kepada suami Hannah.

Menurutnya, semakan secara terperinci telah pun dilakukan termasuk dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Saya telah mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya untuk menyemak dan melakukan siasatan interim termasuk semakan dalam talian bersama SSM.

“Kita (SPRM) ada kemudahan untuk melakukan semakan dengan agensi lain untuk meneliti sama ada terdapat sebarang konflik kepentingan peribadi atau sebagainya.

“Kami sudah semak dengan terperinci, jadi apa yang anda mahu kami lakukan? Anda mahu saya memanggil Hannah dan suaminya? Supaya kami merakam keterangan. Adakah itu yang anda mahu saya lakukan, adakah itu adil kepada mereka?,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa, Azam Baki sememangnya bersetuju dengan perkara tersebut.

“Apa yang boleh saya cakap seperti yang disebut Perdana Menteri, serahkan (perkara) ini kepada pihak berkuasa, anda sering bertanyakan mengenai perkara ini beberapa kali dan bertanya kepada beliau (Perdana Menteri) mengenai kes ini.

“Perkara ini bukan daripada arahan beliau dan segalanya selepas ini terserah kepada kami sebagai pihak berkuasa.

“Katakanlah selepas ini ada isu untuk kami siasat. Kami akan siasat tetapi setakat ini, saya tak nampak ada kes,” jelasnya.- 27/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button