FOKUS

Isu pengiring didakwa pukul pemandu OKU…TMJ mahu siasatan penuh

Isu seorang pemandu e-hailing kurang upaya (OKU) dakwa dipukul oleh seorang pegawai pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dekat Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei telah mengundang reaksi baginda.

Pada Jumaat menerusi laman X baginda menegaskan tidak merestui sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya,” titah baginda.

Baginda juga berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa baginda telah mengarahkan pasukan pengiring keselamatan polis untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

“Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,”titah baginda lagi.

Selepas insiden berkenaan pemandu itu telah membuat laporan polis.

Namun kemudian dia telah menarik balik laporan polis itu atas alasan tidak mahu ia jadi isu berpanjangan.

Pemandu berusia 46 tahun kemudian dilaporkan memberitahu hal itu ‘diselesaikan’ dengan bayaran RM800.

Soal bayaran itu telah membuatkan ada kalangan yang mempersoalkan di media sosial apakah harga diri seorang OKU ‘diselesaikan’ dengan RM800 sahaja.

BERIKUT IALAH KENYATAAN TITAH PENUH BAGINDA :

Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor

  • 31/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button