FOKUS

Kes 1MDB Najib: Pendakwaan tutup kes selepas 235 hari bicara

Pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas Perdana Menteri Datuk Seri NajibTun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana Malaysia Development Berhad (IMDB) menutup kesnya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur,Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihaknya membuat keputusan untuk menutup kes itu selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil atau disoal balas.

“Saya dengan ini menutup kes pendakwaan selepas 235 hari perbicaraan yang memakan masa enam tahun dan mendengar keterangan 50 saksi,” katanya.

Najib pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018 dan kes itu kemudian dipindah ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018.

Antara yang memberi keterangan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi IMDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh dan bekas peguam IMDB Jasmine Loo Ai Swan.

Mahkamah kemudian mengarahkan pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujah bertulis pada 26 Julai dan hujah balas pada atau sebelum 9 Ogos ini serta menetapkan empat hari dari 19 hingga 22 Ogos untuk mendengar hujahan secara lisan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana IMDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bellau didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, jika sabit kesalahan. – BERNAMA- 30/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button