Betulkah masih ada kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor?
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad kata beliau beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.
Hal ini telah mengundang reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Siasatan jika betul atau tidak mesti disegerakan,” katanya pada wartawan selepas satu majlis di Bagan Datuk Ahad.
Zahid mengingatkan Malaysia sangat terikat kepada dasar kerajaan iaitu tiada hubungan diplomatik dengan Israel, selain tiada sebarang perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.
Beliau berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.
“Saya fikir pihak lembaga pelabuhan dan pihak kastam harus bertindak dengan segera kerana kita tahu apa yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan tetapi soal bagaimana peraturan-peraturan yang begitu ketat telah terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) untuk memasuki salah sebuah pelabuhan kita.
Pada 7 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia teguh dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel masuk ke negara ini.
“Tak ada kapal dari Israel berlabuh. Kita tak benarkan,” kata Perdana Menteri.
Ia susulan laporan sebuah portal sebelum ini yang mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia, hujung April lalu.
Pandak mahu kerajaan memberi penjelasan terhadap dakwaan mengapa kontena-kontena dari Israel masih diterima masuk dan berada di negara ini.
Katanya beliau menerima aduan minggu lepas memaklumkan sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, didakwa masih menerima masuk kontena-kontena dari sebuah syarikat perkapalan Israel.
“Isu ini sudah menjadi buah mulut penduduk sekitar pelabuhan berkenaan yang kurang senang dan resah apabila mengenangkan penderitaan rakyat Palestin yang sehingga kini bertarung nyawa apabila tanah air mereka bukan sahaja dirampas malah Zionis berterusan membunuh individu tidak berdosa termasuk kanak-kanak di sana,” katanya.
Tambah Pandak, beliau sendiri sudah membuat aduan kepada Kerajaan Negeri Johor bagi memaklumkan apa yang terjadi di kawasan Kota Iskandar ini pada Jumaat lalu.- 2/6/2024